Majlis Sambutan Maulidur Rasul kukuhkan perpaduan penduduk Pantai Acheh

Admin

TELUK BAHANG – Buat julung kalinya, program sambutan Maulidur Rasul disambut bukan sahaja oleh umat Islam malah turut diraikan bersama-sama masyarakat pelbagai kaum.

Sambutan bertemakan ‘Share The Love’ merupakan anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pantai Acheh bertempat di Dewan Tokong Cina di sini pada 20 November lalu.

Juara bagi pertandingan bola keranjang menjulang piala kemenangan pada pengajuran majlis Sambutan Maulidur Rasul dekat Pantai Acheh baru-baru ini.

Kira-kira 200 orang penduduk meraikan majlis tersebut yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Hadir sama, ADUN Pulau Betong Mohd. Tuah Ismail dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Program tersebut turut menampilkan dua orang moderator dari Persatuan Malaysian Chinese Muslim Association Penang (MACMA) iaitu Asyraf Tan dan Kaw Lek Ming yang membincangkan topik berkaitan kisah-kisah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung antaranya pertandingan ping pong (lima kumpulan), bola keranjang (dua kumpulan) dan pertandingan kuiz yang mana setiap pemenang berjaya membawa pulang piala pusingan, medal berserta hamper.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ADUN