Majoriti kuat kukuhkan Kerajaan Negeri, Kon Yeow respons isu ADUN bertemu PM

Admin
KETUA Menteri bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan) dalam sidang media di KOMTAR pada awal pagi tadi.

 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang masih mempunyai majoriti yang kuat dan akan terus bekerja dengan mandat yang diberikan oleh rakyat negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan beliau ketika menjawab soalan pihak media berhubung spekulasi beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri semalam.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus bekerja dengan sokongan majoriti yang kuat dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita.

“Bagi mana-mana ADUN dari mana-mana parti, kita (Pakatan Harapan) serah kepada parti berkenaan untuk membuat apa-apa keputusan atau ambil apa-apa tindakan dan saya percaya Pengerusi PKR negeri telah membuat kenyataan sebelum ini.

“Pakatan Harapan Pulau Pinang masih mempunyai majoriti yang kuat dan ini tidak menjejaskan keutuhan dan kestabilan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang pada sidang media di Komtar tadi.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain.