GEORGE TOWN – Makam Dato Koyah di Jalan Transfer antara enam tapak bersejarah diiktiraf sebagai Warisan Negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14) termasuk Perayaan Teong Guan Phor Thor yang dikenali sebagai ‘Hungry Ghost Festival’, dalam usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pemeliharaan khazanah sejarah dan budaya negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan warisan kebudayaan, sama ada berbentuk amalan masyarakat mahupun warisan fizikal terus dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.
“Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, ia adalah identiti yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi hari ini, dan amanah yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pemakluman Item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Perayaan) dan Warisan Kebudayaan Ketara (Tapak Warisan) yang Diwartakan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang Ar. Zalena Abdul Aziz; Ahli Majlis Warisan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara (Alam Bina), Dr. Tan Chin Ling serta barisan Ahli Majlis Warisan Negeri dan wakil jabatan.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang bukan sahaja kaya dengan sejarah, malah mempunyai warisan budaya yang mencerminkan kepelbagaian masyarakatnya, termasuk perayaan, adat resam, amalan masyarakat dan tapak bersejarah yang diwarisi turun-temurun.
Dalam kita mengejar kemajuan, warisan ini tidak boleh dibiarkan hilang ditelan arus pembangunan.
“Justeru, Kerajaan Negeri terus mengambil langkah mengenal pasti, melindungi, memelihara dan mengangkat warisan yang mempunyai nilai sejarah serta budaya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa usaha berkenaan dilaksanakan melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang dengan mengenal pasti warisan kebudayaan yang menjadi cerminan identiti negeri untuk diangkat sebagai Warisan Negeri.
Menyentuh mengenai pengiktirafan tersebut Kon Yeow menyatakan bahawa atas nilai sejarah dan budaya perayaan tersebut, pada 8 April 2026, Kerajaan Negeri telah meluluskan pencalonan perayaan itu untuk diisytiharkan sebagai Warisan Negeri sebelum diwartakan sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa pada 25 Jun 2026.
Ini tambah beliau, termasuk penetapan enam tapak bersejarah sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.
“Pencalonan ini turut melalui saringan dan tapisan terperinci oleh pakar menerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya), sebelum mendapat pengesahan Majlis Warisan Negeri dan kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Ia bukan sekadar bertujuan memelihara dan memulihara satu amalan tradisi, sebaliknya turut mengangkat kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.
Selain itu, Kon Yeow berkata, enam tapak yang menerima pengiktirafan Tapak Warisan Negeri adalah Makam Dato Koyah di Jalan Transfer; Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Landasan Funikular Bukit Bendera; Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk), Lebuh King; Bangunan Persatuan Fooi Chew, Lorong Prangin; Tokong Loo Pun Hong, Lorong Love dan Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No. 1, Jalan Mount Erskine.
Kesemua tapak ini mempunyai latar belakang sejarah yang signifikan dalam perkembangan Pulau Pinang, dan telah melalui saringan ketat oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara (Alam Bina).
“Ini membuktikan bahawa usaha pemuliharaan warisan di Pulau Pinang merangkumi dua dimensi utama, iaitu warisan yang diamalkan oleh masyarakat serta warisan fizikal yang membentuk landskap sejarah negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Majlis Perisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan akan diadakan pada 10 Oktober 2026 bagi penetapan secara rasmi.
“Saya berharap lebih banyak warisan kebudayaan Pulau Pinang dapat dikenal pasti, didokumentasikan dan diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa akan datang,” jelasnya.

Bercakap pada sidang media sama, Hon Wai memberitahu bahawa tahun 2026 mencatat perkembangan positif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan apabila sebanyak 57 item telah diwartakan sebagai Warisan Negeri di bawah Enakmen 14.
Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi 15 tapak bersejarah, makanan (28) serta Warisan Tidak Ketara (7) yang telah diumumkan sebelum ini, selain pewartaan terbaharu yang menjadikan keseluruhan sebanyak 57 item.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah diwartakan di bawah Enakmen 14 sebanyak 57 item, sekali gus menjadikan tahun ini tahun yang amat positif bagi Pulau Pinang dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan,” ulas beliau.

Mengulas perkara sama, Zalena berkata bahawa pihaknya menyasarkan sebanyak 70 item dapat diwartakan sebagai Warisan Negeri menjelang tahun 2027.
“Tanpa sokongan Kerajaan Negeri terutama Ketua Menteri dan juga YB Exco, kita tidak mungkin dapat melakukannya,” ujarnya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN & EXCO