Malam Citra Malaysia semarak seni, budaya dan warisan Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2026 09 10 at 11.27.27

GEORGE TOWN — Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha menyemarakkan seni, budaya dan warisan negeri menerusi sokongan terhadap pelbagai program kebudayaan yang dijadualkan sepanjang September ini, termasuk penganjuran Malam Citra Malaysia @Penang 2026 di Bertam Street Market, Kepala Batas pada 19 September 2026.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, selain Malam Citra Malaysia @Penang 2026, Festival Citra Mutiara 2026 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut akan berlangsung dari 11 hingga 13 September ini di Lebuh Armenian, manakala Pesta Tanglung Pulau Pinang pula akan diadakan pada 19 September di Padang Kota Lama.

Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan terhadap segala aktiviti yang menonjolkan kebudayaan, warisan dan kesenian kerana program seumpama ini bukan sahaja memperkenalkan kekayaan budaya negeri, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum.

“Justeru, saya mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan memeriahkan pelbagai acara yang telah dijadualkan sepanjang bulan September ini,” ujarnya.

whatsapp image 2026 09 10 at 11.27.27 (2)
WONG Hon Wai.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Malam Citra Malaysia @Penang 2026 di Komtar sebentar tadi, yang turut dihadiri oleh Pengarah Program selaku Exco Pemuda Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Muhammad Al-Azim Mohd. Effendi bersama-sama barisan penganjur dan penaja.

Menurut Hon Wai, Malam Citra Malaysia @Penang 2026 merupakan antara acara sempena sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Seberang Perai, dengan menghimpunkan penggiat seni, belia dan komuniti menerusi sebuah malam penuh warna bertemakan ‘Citra Warisan, Jiwa Merdeka’.

“Program yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Bertam Street Market itu dijangka menarik antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung.

“Ia merupakan acara yang julung kali dianjurkan oleh Pemuisi dengan pelbagai pengisian menarik antaranya Muay Thai Inter Club Championship 2026 dan Battlezone Youth Esport 2026,” jelasnya.

whatsapp image 2026 09 10 at 9.51.43 am

Sementara itu, Muhammad Al-Azim memaklumkan bahawa program berkenaan bakal menampilkan pelbagai persembahan termasuk tarian tradisional Melayu, Cina dan India, nyanyian, teater, muzik serta persembahan kebudayaan yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari.

“Antara kumpulan dan penggiat seni yang dijadualkan membuat persembahan ialah De’ Laguna Marching Band dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Laguna Merbok, Gempita Arjuna dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya, Ritma Tari Permai dari SK Seri Permai, Orkes Delima Band dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh dan 4 Sedhage dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Selain menjadi pentas meraikan kepelbagaian budaya, program itu turut dilihat sebagai wadah yang menghubungkan seni, komuniti, pelancongan dan ekonomi kreatif, sekali gus mengetengahkan Pulau Pinang sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan warisan,” katanya.

Difahamkan, Malam Citra Malaysia @Penang 2026 yang turut mendapat sokongan JKKN Pulau Pinang bakal diadakan dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Pulau Pinang; Bertam Street Market; Majlis Belia Daerah Seberang Perai Utara serta Pertubuhan Ikatan Perpaduan Anak Pulau Pinang.

Manakala, Universiti Sains Malaysia (USM); Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC); Sunshine Bertam; Ritma Tari Permai dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pula bertindak sebagai rakan strategik.

 

Gambar: R. SARBEYSHWARAN