Malaysia baharu buka ruang seluasnya kepada masyarakat lakar peranan masing-masing – Nurul Izzah

Admin

BERTAM – Malaysia baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap masyarakat untuk melakar peranan masing-masing, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Jelasnya, setiap masyarakat harus bersama kerajaan yang ada pada hari ini untuk memikirkan usaha yang harus dilakukan bagi membina Malaysia dalam konteks proses peralihan kuasa selepas 61 tahun negara diperintah oleh parti gabungan yang sama.

“Dengan ini dapatlah kita bersama dalam ruang lingkup untuk memikirkan apa sebenarnya harus kita usahakan bagi membina negara ini dengan memperlihatkan beberapa cadangan dan juga pandangan.

“Maka naratif yang kita bawakan adalah sama ada selaku demokrat Muslim atau selaku warganegara harus jelas kerana peralihan kuasa ini hanya dimungkinkan menerusi 82% pengundi yang merasakan bahawa mereka mempunyai kepentingan,” katanya semasa berucap dalam Seminar Hala Tuju Malaysia Baharu anjuran Angkatan Belia Islam (ABIM) Pulau Pinang dekat Penang Golf Resort, di sini semalam.

Beberapa sesi forum dan soal jawab turut berlangsung pada seminar berkenaan antaranya, forum Memahami dan Memaknai Revolusi Industri 4.0; Sustainable Development Goals dan Hala Tuju Malaysia Baharu yang menampilkan panelis yang terdiri daripada ahli akademik dan wakil rakyat.

Barisan panelis yang diundang khas ialah Profesor Mohamad Fauzan Noordin dari Fakulti Teknologi Dan Multimedia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM); Profesor Kamarulazizi Ibrahim (Ketua Pegawai Eksekutif Global Universal Intelectual Development) dan Jufitri Joha (Naib Presiden Majlis Belia Malaysia yang juga tokoh Belia ASEAN 2014).

Muhammad Faiz Fadzil (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Permatang Pasir); serta Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan (Pensyarah Kanan merangkap Dekan, Fakulti Sharian Dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia) turut ditampilkan sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan, rakyat hari ini berbeza berbanding semasa enam dekad di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mana mereka merasakan bahawa parti pemerintah memainkan peranan besar merangkumi 80% daripada dasar-dasar yang dilaksankan di negara ini.

“Sekarang tidak lagi kerana mahu tidak mahu rakyat merasa bertanggungjawab untuk melakukan perubahan, maka kerajaan dan kabinet yang ada hari ini harus mendengar keluh-kesah serta harus menyelesaikan masalah sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF