Manfaat ‘Zakat P. Pinang’ wajar dikayakan – Zakiyuddin

PEMBANGUNAN Pusat Perniagaan Wakaf Seetee Aisah di Jalan Tun Hussein Onn dekat Seberang Jaya yang diakui berjaya baru-baru ini seolah-olah menjadi pemangkin semula kepada idea mengayakan atau mengembangkan manfaat daripada kutipan zakat Pulau Pinang yang sekian kali dibahaskan.

Itu, lontaran idea Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman, 54, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Rumah Fakir/Miskin di institusi yang sama.

Beliau berkata, Zakat Pulau Pinang setiap tahun memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi membina atau memperbaiki rumah mereka yang di bawah asnaf Fakir dan asnaf Miskin.

Golongan Fakir dan Miskin di negeri ini yang mempunyai tanah atau yang mendapat kebenaran daripada tuan tanah untuk pembinaan rumah, layak dipertimbangkan untuk bantuan pembinaan rumah Zakat Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, orang yang bukan dalam dua asnaf ini (Miskin dan Fakir) pun banyak yang tiada tanah sebab tanah di negeri ini tinggi nilainya serta terhad khususnya di kawasan pulau atau di bandar-bandar.

Masalah perumahan khususnya dan hartanah amnya memanglah kritikal bagi umat Islam di negeri ini sejak sekian lama dan sentiasa
menjadi isu apabila masalah orang Islam Pulau Pinang dibincangkan.

“Kita di Zakat Pulau Pinang memang ada cadangan dan pernah membincang lontaran idea untuk pembangunan hartanah ini.

AHMAD Zakiyuddin Abd. Rahman.
AHMAD
Zakiyuddin
Abd. Rahman.

 

AHMAD Zakiyuddin Abd. Rahman ketika diwawancara BM.
AHMAD Zakiyuddin
Abd. Rahman ketika
diwawancara BM.

“Idea mengembangkan manfaat dari dana zakat seperti membina dan memberi sewa atau diami rumah secara percuma kepada asnaf yang dikenalpasti layak umpamanya memang ada dibincangkan,” ujar beliau semasa ditemu ramah oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB.

Beliau berkata, institusi berkaitan umat Islam di Pulau Pinang sebenarnya memerlukan idea baru yang lebih konstruktif.

Pengalamannya sebagai jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) selama 10 tahun, selain berperanan penting dalam Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Kedah dan Perlis selama beberapa penggal serta penglibatan sebagai Pengurus Projek Bertam Properties Sdn. Bhd. banyak membantunya mencari idea baru bagi merealisasikan cita-cita mengayakan manfaat umat dari dana Zakat Pulau Pinang.

Penglibatan di dalam perancangan dan perlaksanaan Projek Pembangunan Bandar Bertam, Kepala Batas terutama di peringkat awal yang melibatkan pembangunan komuniti serta diamanahkan pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Qariah Masjid Bertam Indah, Kepala Batas meletakkan beliau ditempat strategik di dalam memahami isu terlibat.

Berbekalkan semua pengalaman itu, beliau menyertai Ahli-ahli Lembaga yang lain diketuai oleh Datuk Mohd. Salleh Man, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) serta Ustaz Elias Zakaria, Pengerusi Zakat Pulau Pinang dan juga kakitangan Zakat
Pulau Pinang mengorak langkah untuk membuat pembaharuan di dalam usaha mengayakan manfaat dari sumber zakat tersebut.

Bagaimanapun , idea diketengahkan perlu dikaji, sama ada boleh direalisasikan menurut syarak atau sebaliknya.

Ini kerana katanya, sebagai mengambil contoh Wakaf Setee Aishah fatwa telahpun membenarkan pengayaan manfaat di atas tanah wakaf sungguhpun ‘ain tanah wakaf (fizikal tanah wakaf) itu sendiri tidak boleh dijual kepada manamana pihak lagi atas sebab ia sudah menjadi milik bersama ummah.

Justeru, beliau berkata, MAINPP dan Zakat Pulau Pinang khasnya memerlukan langkah masa depan yang lebih dinamik untuk mengayakan manfaat dari kutipan wang zakat ini.

“Mungkin kita boleh tentukan peruntukan tertentu dari kutipan tahunan zakat ini dengan membeli tanah dan dijadikan bank tanah sebelum dibangunkan manfaat seperti bina rumah fakir miskin mungkin tahun seterusnya. Semuanya perlu dirujuk terlebih dulu kepada pihak berkuasa agama untuk menentukan ianya menepati kehendak syariah”.

“Kalau kita lihat dalam amalan urus agihan zakat sekarang, pengagihan tertentu boleh dibuat tetapi dengan syarat tidak menafikan hak di bawah ketegori mana-mana asnaf  terutama fakir dan miskin untuk mendapat pembelaan dan hak masing-masing,” ujar beliau.

Difahamkan, kira-kira 3,000 berdaftar dan dikenalpasti sebagai Fakir dan Miskin layak menerima zakat daripada Zakat Pulau Pinang di bawah pelbagai kategori.

Manakala, kutipan zakat di Pulau Pinang saban tahun kebelakangan ini tidak kurang dari RM50 juta.

“Dalam RM2 juta peruntukan untuk bina atau baiki rumah… kalau nak bina, dalam 50 rumah (dengan keluasan) 700 kaki persegi (tiap-tiap tahun).

“Sekarang ini, kita (Zakat Penang) bagi peruntukan bina rumah atau baiki rumah dengan syarat mereka ada tanah atau dalam kebenaran menduduki.

“Mungkin juga selepas ini, kalau dibenarkan di sisi syarak, kita beli tanah dan bina rumah menggunakan manfaat dari peruntukan asnaf Fi Sabililah umpamanya,” ujar beliau.

CABARAN

Beliau berkata, Zakat Pulau Pinang senantiasa berusaha untuk meyakinkan umat Islam mengenai integriti Zakat Pulau Pinang dalam menguruskan amanah ummah ini.

Hasilnya terbukti dengan peningkatan kutipan zakat yang makin bertambah setiap tahun dan sudah mencecah lebih RM60 juta tahun ini (2012).

“ Selain te rima zakat pendapatan dan fitrah, kita (Zakat Pulau Pinang) banyak menerima zakat korporat daripada syarikat-syarikat dan
bank-bank, zakat perniagaan, simpanan wang dan emas serta lain-lain.

“Kita (Zakat Pulau Pinang) hanya buat promosi serta jelaskan apakah yang kita buat dengan duit zakat Pulau Pinang ini untuk meyakinkan semua pihak dan menyedarkan mereka kewajipan mengeluarkan zakat dan diagihkan secara betul.

“Selalunya, mereka (pihak korporat ) sendiri yang menentukan jumlah zakat yang nak dikeluarkan…selalunya mereka akan juga bertanya ke mana duit mereka ini diurus atau diagihkan,” ujar beliau.

“Mungkin inilah antara cabaran-cabaran yang kita perlu depani,” ujar beliau sambil menyimpan harapan agar Zakat Pulau Pinang menjadi model urus korporat institusi agama Islam terbaik di tanah air ini.

HARAPAN

Beliau berharap dan percaya, Majlis Agama Islam Pulau Pinang khususnya Zakat Pulau Pinang akan lebih kreatif dan fokus dalam mengemukakan polisi-polisi dan pendekatan baru untuk melaksanakan amanah ummah demi manfaat umat di negeri berkenaan.

Beliau berkata, Zakat Pulau Pinang sudah berjaya meletakkan zakat menjadi sumber yang begitu berperanan di dalam agenda umat Islam Pulau Pinang seharusnya dimanfaatkan lagi dengan lebih berkesan dan luas.

“Polisi-polisi baru seperti mengembang manfaat zakat ini mampu untuk membantu menyelesai masalah ummah (kemaslahatan ummah), khususnya yang melibatkan asnaf-asnaf yang sedia layak menerima zakat tersebut,” ujar beliau.