PIHEC 2013 menjanjikan kelainan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Penganjuran Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2013 yang bakal berlangsung bermula 18 Januari sehingga 20 Januari di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini bakal menjanjikan kelainan berbanding anjuran tiga tahun sebelum ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, dengan menfokuskan kepada industri pelancongan dan hospitaliti halal, PIHEC 2013 bakal mengadakan ‘Chief Minister’s and Governors Forum’ (CMGF) bagi merancakkan pembangunan industi halal di rantau ini pada 19 Januari di Hotel Eastin, Bayan Baru.

Beliau memberitahu, CMGF adalah wacana untuk perbincangan intelektual dicadangkan dalam persidangan halal dan pihak penganjur pastinya menjangkakan individu dan kumpulan intelektual dapat berkumpul bagi mengutarakan buah fikiran masing-masing.

“Selain itu, pelbagai program harian turut akan dijalankan sepanjang tiga hari ekspo berlangsung termasuk demonstrasi masakan, pertunjukan busana muslimah, cabutan bertuah dan sesi pemadanan perniagaan.

“Terdapat juga artis-artis jemputan yang diundang untuk memeriahkan ekspo kali ini,” kata Abdul Malik pada sidang media pengumuman penganjuran PIHEC 2013 di sini baru-baru ini.

PIHEC 2013 adalah hasil anjuran Kerajaan Negeri melalui agensinya, Halal Penang dengan kerjasama The Indonesia- Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMTGT) sebagai salah satu inisiatif dalam memartabatkan industri halal tempatan ke persada antarabangsa.

Tambah Abdul Malik, industri halal kini giat berkembang dan ianya tidak hanya terhad kepada industri pemprosesan makanan semata-mata.

“Produk-produk organik, kosmetik, busana, perkhidmatan logistik, hospitaliti, kewangan, hartanah dan barangan am juga sebahagian dari industi halal yang ada di sini,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat PIHEC di talian 04 – 262 5444 atau emelkan ke [email protected].

ABDUL Malik Abul Kassim (kiri) bersama Pengurus Halal Penang, Mohamad Firhan Ghouse bergambar bersama-sama banting penganjuran PIHEC 2013 pada sidang media di sini baru-baru ini.
ABDUL Malik Abul Kassim (kiri) bersama Pengurus Halal Penang,
Mohamad Firhan Ghouse bergambar bersama-sama banting
penganjuran PIHEC 2013 pada sidang media di sini baru-baru ini.