Manfaatkan bantuan persekolahan – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Seramai 40 pelajar dari keluarga kurang mampu kawasan Parlimen Tanjung dipilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik berkata, pemilihan penerima adalah berdasarkan kemampuan pendapatan dan jumlah tanggungan sesebuah keluarga tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Tahun ini, bagi sesi persekolahan akan datang, kita telah memilih 40 pelajar iaitu 35 pelajar Melayu dan lima pelajar berketurunan India untuk diberi bantuan.

“Zakat (Pusat Urus Zakat, PUZ) menyumbang sebanyak 35 set kelengkapan untuk pelajar yang beragama Islam dan selebihnya adalah daripada peruntukan saya sendiri untuk pelajar-pelajar bukan beragama Islam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Tahun 2015 dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Malik turut berharap agar para penerima bantuan terbabit dapat memanfaatkan sepenuhnya pemberian baucar tunai dengan membeli kelengkapan yang perlu seperti pakaian seragam sekolah dan juga alat-alat tulis seperti pensel, pen, pensel warna, pemadam dan lain-lain.}