Manfaatkan dewan JKKK demi kuasakan komuniti

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berharap kemudahan infrastruktur sedia ada di sini seperti beberapa dewan serbaguna dimanfaatkan untuk memperkuasakan komuniti setempat.

Exco Pertanian & Industri Asas Kecil, Pembangunan Desa dan Kesihatan itu berkata demikian pada Majlis Hari Terbuka Deepavali Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya baru-baru ini.

“Dewan Serbaguna JKKK (Jawatankasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Seri Tenggeri ini telahpun kita ambil alih pengurusannya, (maka) saya harap dewan ini dapat digunakan semaksimum mungkin untuk program komuniti,” ujarnya di depan lebih 100 komuniti India di sini.

Beliau turut meminta JKKK berwajib supaya mengenakan kadar sewa dewan paling rendah supaya tidak membebankan mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan kenduri kendara atau program komuniti di sini.

Dalam perkembangan lain, Afif turut menyeru semua pihak supaya membuat persiapan berwajib bagi menghadapi pelbagai kemungkinan dalam perbicaraan kes Fitnah Liwat II di Mahkamah Rayuan Putrajaya kini yang membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.