Sambutan Hari Kanak- Kanak sebagai acara tahunan negeri – ADUN

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN

PULAU TIKUS – Seramai 100 kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang mengambil bahagian dalam acara mewarna dan mencanting batik pada majlis International Children’s Day Celebration 2014 di sini baru-baru ini.

Persembahan tarian istimewa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Down Sindrom Association dan Persatuan Orang Pekak Malaysia merupakan antara acara menarik dalam keraian berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey yang turut menyertai program tersebut berkata, beliau berharap acara buat julung kalinya diadakan itu dapat diangkat menjadi acara tahunan di peringkat negeri.

“Kami warga Pulau Tikus amat mengalu-alukan dan meraikan kepelbagaian warna dalam jiwa kanak-kanak kerana golongan ini sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya pada Majlis Perasmian International Children’s Day Celebration 2014 di sini baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti atas inisiatif menganjurkan program tersebut.

Keraian kali ini turut diisi dengan beberapa acara lain seperti, drum circle, perarakan kempen hentikan penderaan kanak-kanak, sesi bercerita, hiasan kek cawan, berjalan menutup mata, demonstrasi bahasa isyarat, melukis inai dan chicken dance.