Manfaatkan kelebihan dibesarkan dalam sebuah negara berkebudayaan majmuk

Admin
802d892c f828 4b24 8ae7 8c0859471094

TELUK BAHANG – Kepelbagaian kaum dan penguasaan pelbagai bahasa perlu terus dipupuk sejak di bangku sekolah antaranya bagi memperkukuh perpaduan masyarakat, di samping melahirkan generasi berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran Jelajah Harmoni Dalam Kepelbagaian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min pada hari ini membuktikan semangat saling menghormati, memahami dan mempercayai antara kaum dapat disemai sejak usia muda.

“Sesungguhnya, program ini amat bertepatan dengan semangat yang sentiasa menjadi kekuatan Pulau Pinang, iaitu hidup dalam suasana saling menghormati, saling memahami dan saling mempercayai antara satu sama lain.

“Walaupun SJKC Sin Min merupakan sebuah sekolah yang kecil, kepelbagaian kaum dalam kalangan murid di sekolah ini membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi dapat dipupuk sejak di bangku sekolah.

“Di sinilah anak-anak belajar bukan sahaja mata pelajaran, malah nilai persahabatan, toleransi dan saling menghargai perbezaan,” ujarnya ketika berucap pada program berkenaan sempena Siri Jelajah Ketua Menteri dekat sini pada 3 Julai 2026.

29cea6d0 f010 407b 82eb 1ade6b299951 1a58cc47 4872 45fb 84cf 04c0b01618e3 9f4e438d 4673 40a3 9328 26127bd75b12 f733c382 c22d 4b15 85da 70d42b9089ec
Turut hadir, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Barat Daya, Rosli Hassan; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang, Rozai Zahar Nedi; Pegawai Pendidikan Daerah Negeri, Mohd. Siroj Abdul Lathiff; barisan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng; Pegawai Penyelaras KADUN Teluk Bahang, Afzal Nasir Ibrahim serta Guru Besar SJKC Sin Min, Voon Bee Leong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa walaupun hanya mempunyai 49 murid, komposisi pelajar di sekolah tersebut memperlihatkan gambaran sebenar keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 murid terdiri daripada kaum Melayu, Cina (12), India (1) dan Siam (1).

“Kita sebenarnya amat bertuah kerana dibesarkan dalam sebuah negara yang berkebudayaan majmuk, sejak kecil lagi kita berpeluang mempelajari pelbagai bahasa dan budaya.

“Apabila berada di luar negara, penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja menjadi kelebihan, malah membuka lebih banyak peluang untuk berkomunikasi dan membina hubungan dengan masyarakat pelbagai latar belakang,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, keupayaan menguasai pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan penting ketika Pulau Pinang terus berkembang sebagai bandar raya antarabangsa dan hab industri berteknologi tinggi.

“Pada masa hadapan, tidak kira dalam apa jua bidang, kita memerlukan modal insan yang mampu berkomunikasi dengan dunia luar.

“Saya berharap para pelajar dapat memanfaatkan kelebihan ini, menghargai persahabatan yang dibina di sekolah hari ini serta giat mempelajari bahasa, budaya dan tradisi kaum lain.

“Di mana sahaja anda berada pada masa hadapan, jadilah penggerak yang memperkukuh keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat,” tambahnya.

9ba896e6 7338 4e46 9417 ece89bd8520c 109b287f 2759 4b19 8ff2 f2f4e32af809 82a78950 c761 43c9 ae43 2806e934cab7 7b568f06 b44f 4f49 9f28 0f42bc553643
Sementara itu, Choon Aik menyatakan bahawa pemilihan SJKC Sin Min sebagai lokasi program bukanlah secara kebetulan, sebaliknya bagi membuktikan bahawa sekolah jenis kebangsaan Cina juga adalah terbuka kepada semua kaum.

“Kita memilih SJKC Sin Min kerana sekolah ini menggambarkan wajah sebenar perpaduan di Pulau Pinang.

“Walaupun sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, majoriti muridnya ialah kaum Melayu, ini membuktikan bahawa SJKC bukan hanya untuk masyarakat Cina, sebaliknya terbuka kepada semua yang ingin mempelajari bahasa Cina,” ulasnya.

Mengulas mengenai pengisian program, Choon Aik turut menyatakan bahawa sebanyak 12 sekolah termasuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terlibat dengan pelbagai aktiviti yang mengetengahkan integrasi budaya dan bahasa.

“Murid bukan sahaja mempersembahkan tarian, nyanyian, kompang dan tarian singa, malah mereka turut berkongsi kemahiran seperti tulisan Jawi dan penggunaan chopstick.

“Yang lebih membanggakan, kita dapat melihat pelajar Melayu bertutur dalam bahasa Mandarin, manakala murid Cina pula dalam bahasa Melayu.

“Inilah semangat integrasi yang ingin kita pupuk kerana kepelbagaian bukanlah sesuatu yang memisahkan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat,” jelasnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT