PSR, hormati keputusan mahkamah – Kon Yeow

Admin
6a0371d5 2855 4976 a80c ae040b3609d9

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri akan meneruskan Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana tiada injuksi mahkamah yang menghalangnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sekiranya terdapat injunksi, sudah tentu Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan kerja.

“Namun, tiada injunksi dikeluarkan, dan Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan projek mengikut kelulusan yang diperoleh,” ujarnya pada sesi sidang media seusai Program Jelajah Harmoni Dalam Kepelbagaian di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka dan beberapa pihak lain dalam kes Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah dan tidak mempertikaikan penghakiman yang telah dibuat.

“Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, saluran yang betul adalah membawa perkara itu ke mahkamah yang lebih tinggi.

“Hakikatnya, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan tersebut, itulah keputusan mahkamah.

“Umum boleh membuat pelbagai tafsiran, tetapi keputusan yang sebenar ialah rayuan telah ditolak,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti keputusan Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat Pulau Pinang berhubung arahan mendedahkan dokumen Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) projek pemulihan tapak pelupusan Jelutong sebelum membuat keputusan lanjut.

“Kita akan meneliti keputusan tersebut terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan seterusnya.

“Seperti juga mana-mana keputusan lain, jika ada pihak yang tidak berpuas hati, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan semakan melalui saluran perundangan yang disediakan,” ujarnya.

Pada 2 Julai lalu, media sebelum ini melaporkan, Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat Pulau Pinang mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mendedahkan JDA berkaitan projek pemulihan tapak pelupusan Jelutong kepada pemohon selepas memutuskan alasan kerahsiaan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk menghalang pendedahan dokumen tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT