Mansuh peruntukan pembangunan kereta kabel Bukit Bendera mengecewakan – Ketua Menteri

Admin
Chow Kon Yeow menunjukkan surat mengenai pemansuhan peruntukan RM100 juta bagi tujuan pembinaan sistem kereta kabel Bukit Bendera daripada Kerajaan Persekutuan yang diterima hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang memansuhkan peruntukan RM100 juta bagi tujuan pembangunan sistem kereta kabel di Bukit Bendera.

Beliau berkata, keputusan tersebut bakal membawa kesan bukan sahaja kepada kesinambungan pelan pembangunan Bukit Bendera, malah ekonomi Pulau Pinang secara amnya.

“Dalam keadaan ekonomi yang muram akibat wabak COVID-19, pelaksanaan projek infrastruktur awam bakal memberi rangsangan kepada pasaran tempatan selain menyediakan peluang pekerjaan serta pelbagai kesan riak kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memastikan peruntukan kepada pihak Kerajaan Negeri ditingkatkan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi akibat COVID-19,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow memberitahu bahawa perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diteruskan bersama-sama Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan peruntukan penting ini tanpa berbincang dengan Kerajaan Negeri selain tidak mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

“Tindakan Kerajaan Persekutuan seakan-akan menghukum rakyat Pulau Pinang dalam isu ini,” tegasnya lagi.

Difahamkan, peruntukan RM100 juta bagi pembinaan kereta kabel alternatif Bukit Bendera diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lepas oleh mantan menteri kewangan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa kajian prakebolehlaksanaan bagi projek berkenaan masih dalam proses dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini.

“Semua maklumat, data serta usul daripada kajian ini akan difailkan untuk kegunaan pada masa depan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN