Masalah di perairan Pulau Aman dan Sungai Udang perlu diberi perhatian – ADUN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diseru agar memberi perhatian terhadap ancaman yang berlaku dekat perairan Pulau Aman dan Sungai Udang kerana telah menjejaskan aktiviti penternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik membangkitkan perkara itu semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14, sebentar tadi.

Katanya, perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius memandangkan sektor akuakultur menjadi antara penyumbang terbesar kepada sektor pertanian negeri ini iaitu sebanyak 30.3 peratus.

“Sejak kebelakangan ini, aktiviti ternakan ikan dalam sangkar di perairan Pulau Aman dan Sungai Udang menghadapi isu pencemaran air, masalah kekurangan oksigen, ancaman ribut serta gejala kecurian.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri diharap dapat mengambil perhatian terhadap isu-isu berkenaan dan tindakan menyeluruh perlu dilakukan untuk menanganinya masalah-masalah ini,” ujarnya lagi.

Selain itu kata Choon Aik, aktiviti penternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkenaan juga berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih.

“Justeru, adakah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pengusaha-pengusaha bagi tujuan menemui mekanisme yang terbaik untuk menyalurkan bekalan air bersih?” soalnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD