Masalah Kampung Jalan Pengkalan di penghujung penyelesaian

Admin

BUKIT TENGAH – Penderitaan penduduk Kampung Jalan Pengkalan di sini akhirnya tiba ke penghujung apabila badan-badan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas dalam menangani isu-isu berbangkit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang berkata, hasil perbincangan yang diadakan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebelum ini telah memperlihatkan keprihatinan badan kerajaan berhubung keadaan yang terpaksa dilalui penduduk setempat setiap hari.

Beliau menjelaskan bahawa, ekoran perusahan beberapa buah kilang kuari yang terletak di kawasan berhampiran, ia telah menyebabkan keadaan berdebu di sini. Pada masa sama, ia turut mencetus kepada masalah keretakan rumah kediaman.

Setelah menerima maklum balas daripada MPSP, pihak pengusaha-pengusaha kuari telah mengambil tindakan segera untuk menurap jalan dari kilang masing-masing ke jalan kampung yang menjadi laluan keluar masuk mereka setiap hari.

Selain memastikan keadaan jalan telah diturap, lawatan pada hari ini juga bagi meninjau kilang-kilang haram yang beroperasi di sini. Hasil siasatan awal mendapati bahawa daripada 42 kilang yang beroperasi di kawasan tersebut hanya 12 kilang memiliki lesen sah.

Justeru, MPSP telah diarahkan untuk mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan kaedah penguatkuasaan terhadap kilang-kilang haram berkenaan,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke sini baru-baru ini.

LaporanKhas

Turut hadir pada sesi lawatan tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen, badan-badan kerajaan dan penguatkuasa terbabit.

Sebelum ini, Sinar Harian di dalam laporannya bertarikh 19 Februari 2010 telah menyiarkan keluhan para penduduk Kampung Jalan Pengkalan yang tidak tahan dengan debu dibawa lori kuari yang beroperasi di kampung mereka. Ekoran itu, ia telah menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan sering mengalami masalah kesihatan dan pada masa sama turut menjejaskan sumber pendapatan para peniaga yang membuka gerai makanan di kawasan sekitar. Dalam pada itu, batu yang dimuatkan di dalam lori juga sering terpelanting dan terkena rumah penduduk.