Masalah nelayan sungai Pengkalan Machang dapat perhatian Exco

SUNGAI DUA – Beberapa permasalahan membabitkan 55 nelayan sungai Pengkalan Machang yang diutarakan di sini baru-baru ini memperoleh perhatian Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Antaranya, menurut Pengerusi Pakatan Nelayan Sungai Pengkalan Machang, Ramli Hashim, adalah tindakan segelintir pihak yang bertindak melepaskan ikan keli ke dalam sungai sehingga menjejaskan hasil tangkapan.

“Jika sebelum ini nelayan di sini boleh mendapat hasil yang agak lumayan seperti udang galah, ikan talapia, baung, duri dan patin, tetapi kini jumlahnya semakin berkurangan.

“Udang dan anak-anak ikan semuanya habis dimakan oleh ikan keli yang dilepaskan ke dalam sungai ini. Malah, pada tahun 2014, sebanyak 100,000 benih udang dan ikan dilepaskan ke dalam sungai ini, tetapi hasilnya hanya dapat ‘dituai’ sekali sahaja.

“Justeru, saya harap dengan lawatan Dr. Afif (Afif) ini, sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi nelayan-nelayan sungai di sini,” katanya kepada pihak media bersempena program menyusuri Sungai Perai hingga Ampang Jajar bersama-sama dengan agensiagensi berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah, Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul, wakil-wakil dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Dalam pada itu, Afif memberitahu bahawa kebajikan nelayan sungai adalah sama penting dengan nelayan pantai kerana kedua-dua pihak terbabit masing-masing menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Lawatan kerja ini adalah untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi nelayan sungai di sini, selain mengambil tindakan susulan bagi mengoptimumkan hasil sungai ini untuk ekonomi negeri,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, kata Afif, hasil tinjauan mendapati, selain tindakan melepaskan ikan keli ke dalam sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab, pencemaran dari kilang-kilang dan keadaan jambatan di Ampang Jajar yang dibina terlalu rendah sehingga menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut juga merupakan antara punca penyebab situasi berkaitan.

“Saya akan bawa masalah ini ke dalam mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mencari suatu penyelesaian…sama ada untuk menaiktaraf jambatan sedia ada atau tidak kerana ia memerlukan kos yang sangat tinggi,” ujarnya.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);