Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah ketiga terbaik di Malaysia

GEORGE TOWN – Masjid AtTaqwa Taman Bertam Indah dalam Kawasan Parlimen Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) barubaru ini diberi Anugerah Masjid Kariah Ketiga Terbaik Peringkat Kebangsaan 2014, yang dianjurkan oleh agensi persekutuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Rosidi Hussain berharap, pengiktirafan tersebut memberi galakan kepada jawatankuasa-jawatankuasa kariah lain untuk meningkatkan mutu mengurus masjid serta dakwah Islamiah di kawasan masing-masing.

“Masjid As-Salam Puchong Perdana dipilih menerima anugerah untuk tempat pertama, kedua, Masjid Saidina Abu Bakar (dekat) Bangsar, dan Masjid At-Taqwa dari Pulau Pinang mendapat tempat ketiga.

“Ertinya, ketiga-tiga masjid ini dari negeri yang diperintah oleh Kerajaan ‘Rakyat’ Pulau Pinang dan Selangor. “Seperti di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tidak campur tangan dalam tadbir urus masjid, jawatan diberikan kepada ‘ahlinya’ (yang layak), sama ada dipilih oleh ahli kariah atau lantikan majlis (MAINPP),” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah MAINPP semasa dihubungi wartawan di sini baru-baru ini.

Justeru, beliau menyeru semua ahli jawatankuasa kariah masjid supaya menyemarakkan ukhwah Islamiah serta saling bekerjasama dengan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Yang diPertua MAINPP, Dato’ Mohd. Salleh Man dalam memperkasakan dakwah di negeri ini.

“Pembangunan masjid dari segi fizikal, sama ada penambahbaikan atau pembinaan masjid baru kebanyakannya di bawah JAKIM dengan kerjasama ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan langsung dengan Jabatan Perdana Menteri, JPM).

“Tetapi, keutamaan kita (MAINPP) di peringkat negeri ini adalah memperkasakan program kebajikan, dakwah Islamiah dan meningkatkan kualiti pengurusan masjid sendiri,” jelas Rosidi.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);