Pulau Pinang kini Kerajaan Negeri Pakatan Harapan – KM

GEORGE TOWN – Pentadbiran Pulau Pinang kini digelarkan sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, selepas suatu keputusan sebulat suara diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa membuat pengumuman itu berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penubuhan Pakatan Harapan dan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah sebulat suara membuat keputusan Kerajaan Negeri sekarang digelarkan sebagai ‘Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang’.

“Kita akan mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana rakyat Pulau Pinang yang bersedia menyokong dan bersama dengan kerajaan berjiwa rakyat,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan).