Pertempuran digital 29 PBT, Pulau Pinang tuan rumah e-sukan Karnival MALA 2026 edisi ketiga

Admin
img 6449 JASON H’ng Mooi Lye (duduk) seusai menyempurnakan acara perasmian pembukaan Karnival Sukan PBT Malaysia (MALA) 2026 Fasa 3, sambil disaksikan oleh Datuk Bandar MBPP (belakang, kiri) dan wakil kepada Presiden MALA (belakang, kanan) di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas pada 7 Ogos 2026.

BAYAN LEPAS – Debaran arena sukan elektronik (e-sukan) kini bermula apabila sebanyak 29 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh negara berkumpul bagi memburu kejuaraan dalam Karnival Sukan PBT Malaysia (MALA) 2026 Fasa 3 menerusi acara EAFC26 dan TEKKEN6 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Ogos di Pusat Konvensyen SPICE di sini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa penganjuran e-sukan ini bertepatan dengan aspirasi Pulau Pinang menuju ke arah status bandar pintar bertaraf antarabangsa.

“Karnival Sukan MALA ini bukan sekadar satu medan pertandingan untuk menentukan juara, tetapi lebih penting, ia merupakan satu platform yang menyatukan warga PBT dari seluruh negara dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekitaan,” katanya semasa majlis perasmian berkaitan di sini pada 7 Ogos 2026.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, penglibatan dalam sukan digital mampu melahirkan generasi muda yang celik teknologi, berfikiran strategik serta menguasai kemahiran kerja berpasukan.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran menzahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan kepada Pulau Pinang sebagai tuan rumah penganjuran fasa ketiga ini.

Bagi penganjuran Fasa 3, difahamkan MBPP menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah khas bagi acara e-sukan, manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengendalikan acara tenpin boling dan snuker.

Terdahulu, fasa pertama dan kedua karnival menyaksikan saingan bagi acara tarik tali, badminton, dart dan golf.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Mohd. Izuad Abdul Aziz yang mewakili Presiden Persatuan PBT Malaysia (MALA) merangkap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Dato’ Abdul Hamid Hussain.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB