Maspex 2018 tawar lebih 5,000 hartanah kepada pembeli

Admin

PANTAI JEREJAK – Pameran Hartanah Sekunder dan Primer Malaysia (Maspex) 2018 menawarkan pilihan 5,000 hartanah daripada lebih 15 firma pempamer pada penganjurannya baru-baru ini.

Pameran tersebut yang dianjurkan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Cawangan Pulau Pinang telah berlangsung selama empat hari yang bermula dari 25 hingga 28 Oktober lalu bertempat di Queensbay Mall, di sini.

Pengerusinya, Mark Saw dalam ucapannya berkata, pameran Maspex tahun keenam tersebut merupakan yang terbesar penganjurannya dengan menawarkan lebih 5,000 hartanah tahap sekunder dan primer yang bermula dari dinamika harga di antara RM250,000 hingga lebih RM1 juta.

Pasaran Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan dan daya tahan dalam menghadapi iklim pasaran hartanah yang mencabar kini,” ujarnya.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Pameran berkenaan turut disertai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi mempromosikan rumah mampu milik kepada orang ramai.

Jagdeep berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha untuk memastikan stok rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik di negeri ini sentiasa mencukupi.

Pulau Pinang akan terus menjadi negeri yang akan mengutamakan sektor perumahan.

Setakat ini, kami telah membina 28,195 unit KR, KSR dan rumah mampu milik. Kira-kira 22, 065 unit perumahan itu berada dalam pelbagai peringkat pembangunan, dan 32,212 unit lagi telah diluluskan untuk dibina.

Saya yakin, dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang baharu di Putrajaya, bukan sahaja warga Pulau Pinang tetapi keseluruhan rakyat Malaysia akan menikmati dan diberi peluang mengakses rumah mampu milik ini yang dahulunya diabaikan Kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.