Masyarakat perlu ubah persepsi terhadap wanita, capai kesaksamaan gender selaras aspirasi Penang2030 

GEORGE TOWN – Golongan wanita sering dilabelkan sebagai golongan yang lemah dan lain-lain konotasi negatif, namun persepsi ini harus diubah, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

 

Menurut Chong Eng, masyarakat perlu memainkan peranan yang aktif dan perlu mengubah persepsi negatif terhadap golongan wanita.

 

“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan Dasar Keterangkuman Gender yang mensasarkan penyertaan wanita di semua peringkat pembuat keputusan.

 

“Saya percaya melalui pendekatan 40:40:20 iaitu 40 peratus pembabitan wanita, 40 peratus lelaki dan 20 peratus lagi membabitkan penglibatan bersama, mampu mengubah persepsi terhadap wanita.

 

“Malah, melalui dasar ini juga akan meningkatkan kesedaran semua pihak untuk lebih memahami kekuatan yang ada pada kaum wanita.

 

“Kesaksamaan gender ini mampu mengukuhkan struktur kemasyarakatan sekaligus menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat,” ucapnya pada Majlis Penutupan Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak anjuran Persatuan Titian Kasih (PERTIKAS) Pulau Pinang dekat sini, tadi.

 

CHONG Eng.

Jelasnya, kepelbagaian gender dalam sesuatu komuniti mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan inovatif.

 

 

“Untuk perhebatkan lagi kesaksamaan gender, Kerajaan Negeri baru-baru ini menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga di 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

 

 

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada seminar berkaitan tadi.

“Selain itu, Kempen Penang Goes Orange turut diadakan setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumahtangga dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri boleh mewujudkan semua platform atau mengadakan dasar-dasar yang inklusif, namun tanpa sokongan wanita itu, ia tidak akan membawa makna.

 

“Wanita perlu tampil dan jadi agen perubahan yang bukan sahaja membawa perubahan dalam komuniti tetapi juga masyarakat keseluruhannya, kalau bukan wanita yang melaksanakannya, siapa lagi.

 

“Ayuh kita jadi agen perubahan dan sama-sama merealisasikan aspirasi dan visi Penang2030 yang berorientasikan kekeluargaan, hijau dan pintar” kata Chong Eng yang mendapat tepukan gemuruh daripada para peserta seminar.

 

Turut berucap Pengerusi PERTIKAS Pulau Pinang, Datuk Marina Puteh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Marhaini Abu Bakar.

 

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan wakil Jawatankuasa Pembangunan Wanita KADUN Datuk Keramat serta wakil-wakil penganjur bersama seperti Persatuan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia, Cawangan Negeri Pulau Pinang dan JPWK KADUN Datuk Keramat.

 

 

Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak yang diadakan hari ini turut menampilkan tiga penceramah yang membincangkan hak-hak wanita dan bagaimana menangani serta mencegah diri daripada menjadi mangsa keganasan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI