Masyarakat Tionghua Pinang Tunggal dirai

MUHASDEY Muhamad (berdiri, dua dari kiri) bersama-sama Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman (berdiri, kanan sekali) menyampaikan sumbangan ‘ang pow’ kepada penghuni rumah orang-orang tua di sini sempena meraikan Tahun Baru Cina
MUHASDEY Muhamad (berdiri, dua dari kiri) bersama-sama Ir.Zakiyuddin Abdul Rahman (berdiri, kanan sekali) menyampaikan sumbangan ‘ang pow’ kepada penghuni rumah orang-orang tua
di sini sempena meraikan Tahun Baru Cina

PINANG TUNGGAL – Sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Pejabat Penyelaras Kawasan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal telah mengadakan beberapa siri lawatan dari rumah ke rumah bagi memberikan sumbangan ‘ang pow’ dan juga hamper.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad, beliau bersama Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat (PUZ) telah melawati kesemua kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di Pinang Tunggal bagi meraikan bersama Tahun Baru Cina dengan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, selain melawati rumah-rumah masyarakat Tionghua yang kurang bernasib baik, kami juga berkesempatan melawat penghuni rumah orang-orang tua, Happy Retirement Home di Permatang Durian. Saya percaya lawatan ini memberi makna kepada mereka (penghuni rumah orang-orang tua) dalam meraikan kedatangan Tahun Baru,” ujar Muhasdey.

Dalam pada itu, sejumlah 175 buah hamper telah disediakan bagi semua kawasan JKKK iaitu JKKK Kampung Selamat Selatan,  JKKK Kampung Selamat Utara, JKKK Lahar Tiang, JKKK Paya Keladi, JKKK Pinang Tunggal dan JKKK Kubang Menerong.

Kesemua hamper tersebut bukan sahaja disumbangkan kepada masyarakat Tionghua yang kurang berkemampuan, malah, turut diberikan kepada warga emas dan ibu tunggal di sini.

“Selain hamper, sumbangan ‘ang pow’ kepada 50 individu yang kurang bernasib baik turut disumbangkan,” tambah Muhasdey lagi yang turut menzahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat setempat yang memberi sokongan dan kerjasama yang baik kepada beliau yang baru dilantik sebagai PPK Pinang Tunggal baru-baru ini.