Maulidur Rasul terus diraikan tanpa perarakan – Exco Agama

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Lebih 3,000 orang daripada 53 kontinjen menyertai perhimpunan Maulidur Rasul 1435 Hijrah di Padang Kota Lama di sini  bagi mengingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri terus menyambut keraian itu walaupun tanpa perarakan pada kali ini.

“Pada kali ini, tiada perarakan dilakukan di sekeliling padang seperti tahun lepas,” ujarnya dalam satu sidang media bersempena sambutan tersebut di sini baru-baru ini.

Pemimpin utama Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan turut menyertai perhimpunan tersebut.

Antaranya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Maktar Shapee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait.

Seawal jam 8 pagi, Pegawai dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Mohd. Luqmanul Hakim Mokhtar menyampaikan ceramah agama mengenai keperibadian Rasullullah untuk tauladan sepanjang zaman.

Pelbagai acara menarik sepanjang majlis tersebut, antaranya, persembahan qasidah dan nasyid serta syarahan agama oleh Pendakwah Bebas serta personaliti rancangan ‘Semanis Kurma’, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

Dalam perkembangan sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Hospital Besar Pulau Pinang, Kolej Kejururawatan Bukit Mertajam dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipilih sebagai kontinjen terbaik pada acara perbarisan sempena perayaan mengingati Rasulullah S.A.W itu.