Thaipusam Negeri tarik penganut & pelancong

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Buat kali kedua, sambutan perayaan penting bagi penganut agama Hindu diraikan dengan penuh besarbesaran di Kuil Arulmigu Sri Bala Thandayuthabani yang merupakan  Kuil Dewa Murugan terbesar di dunia selain di negara India di sini baru-baru ini.

Bersempena sambutan keagamaan tersebut, dianggarkan 300,000 penganut serta pelancong dari dalam dan luar negara membanjiri Jalan Kebun Bunga di sini yang mana terletaknya kuil berkonsepkan seni bina tradisional bercorak Dravidian dengan jumlah 513 anak tangga untuk ke puncak.

Malah, sebanyak 140 panthal didirikan di sepanjang jalan oleh jabatan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang laluan menuju ke Kuil Arulmigu Sri Bala Thandayuthabani.

Hadir sama memeriahkan sambutan berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ditemani Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan, R.S.N. Rayer (Seri Delima) dan T. Jayabalan (Batu Uban).

Ramasamy berkata, setiap tahun bilangan penganut yang menghadiri sambutan Thaipusam di Pulau Pinang adalah kian bertambah.

“Hal ini adalah kerana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap aspek kebebasan beragama bagi semua kaum di samping menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Pendirian Kerajaan Negeri dalam menegakkan hak agama dalam Perlembagaan Persekutuan tetap sama tidak berubah,” katanya di sini baru-baru ini.

PerayaanThaipusam merupakan hari menunaikan nazar bagi penganut agama Hindu kepada Dewa Murugan. Kavadi yang sinonim dengan perayaan tersebut pula adalah bertujuan untuk memohon agar dosa diampunkan.