MBPP berjaya catat 29.7 peratus kadar kitar semula, lebih tinggi daripada sasaran kebangsaan

Admin
AR. Yew Tung Seang (tiga dari kiri, hadapan) melakukan bersedia untuk memasukkan surat khabar ke dalam bahagian yang dikhaskan simbolik kepada perasmian Taklimat Keselamatan Jalan Raya dan Program Pengasingan Sisa Di Punca dekat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Sacred Heart, Balik Pulau pagi tadi.

PULAU BETONG – Program pengasingan sisa di punca dan program kitar semula yang digerakkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya mengurangkan penghasilan sampah pada kadar 650 tan dengan 29.7 peratus dicatatkan tahap kitar semula, lebih tinggi daripada sasaran kebangsaan 22 peratus.

Jumlah pengurangan sampah tersebut membolehkan MBPP memperoleh penjimatan RM2.2 juta tipping fee bagi pengurusan tapak pelupusan.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, setiap hari kira-kira 928 tan sampah membabitkan 190 perjalanan lori membawa sampah ke tapak pelupusan di Pulau Burong dekat Seberang Perai Selatan (SPS).

“Apabila kita berjaya menikmati penjimatan, kos penjimatan tersebut boleh digunakan untuk kemudahan rakyat…secara tidak langsung juga akan memanjangkan hayat tapak pelupusan di Pulau Burong,” ujarnya ketika berucap pada Taklimat Keselamatan Jalan Raya dan Program Pengasingan Sisa Di Punca dekat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Sacred Heart, Balik Pulau pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali serta barisan Ahli Majlis bagi MBPP.

Menurut Tung Seang, salah satu inisiatif lain yang dilakukan oleh MBPP adalah dengan memperkenalkan Anugerah Sekolah Hijau pada 2011 dalam usaha membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pelajar sekolah adalah harapan masa depan negara, justeru, didikan tentang pengasingan sisa di punca dan kitar semula haruslah dipupuk di samping menggalakkan mereka (pelajar) mempraktikkannya di rumah sebagai suatu kebiasaan.

Kini MBPP juga sedang meneliti untuk menjadikan sisa buangan organik sebagai salah satu daripada punca penghasilan sumber tenaga untuk mengurangkan sisa buangan tersebut

“Melalui pengurangan sampah, masalah pemanasan global dunia hari ini dapat dikurangkan, hal ini kerana peningkatan suhu kian menjejaskan ekosistem termasuk batu karang,” jelasnya.

Terdahulu, pada program berkaitan, paling mencuri tumpuan adalah demonstrasi kebakaran dan pemadaman api yang turut dilakukan oleh Abdul Halim dan Tung Seang.

Turut diadakan, pameran agensi-agensi kerajaan berkaitan keselamatan jalan raya, kesihatan dan lain-lain lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD