Penang Durian Fest 2018 kembali lagi, 28 & 29 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, penganjuran Penang Durian Fest 2018 pada 28 hingga 29 Julai ini akan menampilkan kelainan apabila Kerajaan Negeri memilih perkarangan Mydin Mall dekat Jalan Baru, Bukit Mertajam sebagai lokasi penganjuran.

Penganjuran program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan durian Pulau Pinang kepada pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Hasil promosi besar-besaran oleh Kerajaan Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan agensi-agensi lain telah membuahkan hasil apabila durian Pulau Pinang telah menjadi satu jenama yang tidak asing lagi.

“(Dan) ini memberi pulangan ekonomi kepada pengusaha dan juga Kerajaan Negeri,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Afif berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, FAMA, dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu turut menyediakan pelbagai aktiviti berteraskan durian selain jamuan durian secara besar-besaran.

“Antara aktiviti disediakan ialah Pertandingan Durian Terbaik 2018, Juara Antara Juara dan Juara Durian Wilayah Utara.

“Selain itu, aktiviti bercorak kekeluargaan juga akan diadakan seperti pertandingan mewarna, pertandingan memasak pengat durian dan pertandingan makan durian terbanyak yang menawarkan pelbagai hadiah yang menarik,” ujarnya lagi sambil menambah tujuan pertandingan diadakan adalah untuk perkenalkan jenis-jenis durian yang boleh diketengahkan terutamanya di bahagian Seberang Perai.

Difahamkan, sebanyak 10 tan metrik durian akan disediakan untuk jualan pada hari berkenaan yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Bayaran masuk akan dikenakan iaitu sebanyak iaitu RM15 untuk orang dewasa manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun sebanyak RM10.

Selain durian, terdapat juga buah-buahan tempatan lain yang diusahakan pihak FAMA akan dijual pada program berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS