MBPP dan BP Lab wujud fasiliti swab test khas, bantu percepat saringan COVID-19 pekerja warga asing

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama BP Clinical Lab Sdn. Bhd. (BP Lab) mengambil inisiatif khas mewujudkan fasiliti saringan kesihatan COVID-19 iaitu ‘swab test’ kepada pekerja warga asing di Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, fasiliti tersebut akan beroperasi selama sebulan di mana proses saringan dilakukan oleh petugas kesihatan bertauliah.

Jelasnya, inisiatif khas tersebut adalah bagi membantu mempercepatkan proses saringan pekerja warga asing di Pulau Pinang selain daripada perkhidmatan pusat-pusat saringan kerajaan dan swasta sedia ada.

“Mengikut rekod, di bawah sektor utama iaitu pembinaan dan perkilangan, Pulau Pinang mempunyai seramai 51,208 pekerja warga asing.

“Jika kita ingin bergantung kepada fasiliti di hospital sahaja tidak cukup dan akan mengambil masa yang agak lama untuk melakukan saringan kepada semua pekerja warga asing.

“Justeru, fasiliti ini diharap dapat membantu mempercepatkan proses saringan, ia hanya platform tambahan, majikan boleh melakukan saringan di mana-mana fasiliti/pusat yang mereka kehendaki kerana kita hanya menyediakan fasiliti, manakala kos saringan ditanggung oleh pihak majikan,” ujarnya ketika mengadakan pemeriksaan proses saringan COVID-19 kepada pekerja warga asing yang berlangsung dekat Padang Polo pagi tadi.

Difahamkan bahawa fasiliti tersebut akan dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan semua pematuhan penting diikuti sepanjang proses ujian saringan berlangsung.

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar Yew Tung Seang; ACP Soffian Santong (Ketua Polis Daerah Timur Laut, DTL); Superitendan A. Anbalagan (Ketua Polis Daerah Barat Daya, DBD) dan wakil BP Lab serta pihak pemaju terlibat.

Mengulas lanjut, menurut Jagdeep langkah-langkah keselamatan perlu dipertingkatkan memandangkan Pulau Pinang kini berada di Fasa Pembukaan di mana sektor utama dibenarkan beroperasi untuk menjana semula ekonomi.

“Untuk kekal sebagai negeri berstatus zon hijau, kita akan terus meningkatkan pematuhan dan beri keutamaan kepada masalah awam dan kesihatan.

“Justeru, seperti saranan Kerajaan Persekutuan, di peringkat negeri kita juga mewajibkan saringan kesihatan COVID-19 kepada semua warga asing yang bekerja di Pulau Pinang, tiada sebarang diskiriminasi kerana ia adalah untuk kebaikan dan keselamatan mereka juga,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Bercakap pada sidang media sama, Tung Seang memaklumkan bahawa ujian saringan yang berlangsung hari ini tertumpu kepada pekerja warga asing di tapak pembinaan kelolaan Majlis iaitu seramai 270 orang.

“Di bahagian pulau, kita mempunyai 109 tapak pembinaan, di mana 10 peratus daripadanya adalah dibawah kelolaan Majlis.

“Buat masa ini, kita tumpukan kepada pekerja (warga asing) di tapak pembinaan Majlis terlebih dahulu, dan selepas ini fasiliti ini boleh digunakan oleh mereka yang berminat.

“Semua pemaju dan pihak yang berminat untuk menggunakan fasiliti ini boleh menghubungi MBPP atau sekatariat Penang Masters Builders Association & Building Materials Dealers Association (PMBBMDA),” ujarnya sambil mengalu-alukan panel lain yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk turut sama menawarkan perkhidmatan seumpamanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS