MBPP disaran guna fasiliti, aset martabat seni kreatif

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disaran menggunakan fasiliti dan aset kepunyaan MBPP bagi mencungkil dan menyuburkan bakat-bakat tempatan sedia ada bagi memartabatkan seni kreatif.

Saranan tersebut disuarakan Ahli Majlisnya, Syerleena Abdul Rashid ketika membuat ucapan penangguhan pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang bersidang di sini baru-baru ini.

Menurut Syerleena, aset dan fasiliti yang dimiliki MBPP dapat diguna untuk merancang strategi, memantapkan polisi dan menyatukan kelompok-kelompok yang berkepentingan.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), kita (MBPP) boleh menggunakan taman-taman, dewan, ruang terbuka seperti Esplanade, Upper Penang Road, panggung terbuka di Taman Bandaraya, ruang pentas di Kompleks Bayu Senja dan lainlain untuk menganjurkan pelbagai program seni.

“Malah, MBPP juga mampu memberi sokongan dari segi peruntukan dana untuk melaksanakan festival muzik, pementasan dan lain-lain acara seni kerana MBPP mempunyai sumbersumber yang boleh membantu mempromosikan aktiviti-aktiviti ini.

“Bukankah lebih baik sekiranya MBPP dapat mewujudkan suatu platform buat bakat-bakat tempatan mengekspresikan kebolehan mereka dalam seni halus, seni ukiran, seni muzik, seni lakon, penyair, penulis kreatif dan kraf tradisional dengan menempatkan mereka semua di bawah satu bumbung serta membekalkan golongan ini dengan infrastruktur perlu,” ujarnya.

Menurut Syerleena, usaha tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk mengalakkan peningkatan kendiri yang positif, malah pada masa sama dapat mengelakkan anak-anak tempatan daripada terjebak dengan gejalagejala sosial yang tidak bermanfaat.

Umum sering bercakap mengenai pembangunan bandar bestari dan bandar lestari, tetapi soal Syerleena, bagaimana pula dengan bandar kreatif?

Justeru, beliau berpendapat bahawa MBPP perlu mengorak langkah dengan meninjau dan meneliti manfaat seni kepada pembangunan negara, negeri dan masyarakat yang secara umumnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga mampu merangsang industri pelancongan Pulau Pinang dan menjana pendapat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta menambah peluang pekerjaan buat warga negeri,” jelas beliau.