Pulau Pinang miliki kerajaan bersih, rakyat yang bahagia – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Karnival Makan Sihat, Hidup Sihat yang pertama kali diadakan di Stadium MPSP dekat Jalan Betek pada 23 Julai lepas menerima lebih 1,000 pengunjung, rata-rata adalah penduduk Bukit Mertajam sendiri.

Ketika berucap, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008 mampu meningkatkan tahap keselesaaan dan kegembiraan penduduk di Pulau Pinang.

Katanya, Pulau Pinang mempunyai tahap kebahagiaan tertinggi serta tahap tekanan yang terendah berbanding Lembah Klang dan Johor Bahru.

Memetik tinjauan indeks kebahagiaan bandar EdgeProperty.com-Lafarge 2017, jelas Boon Poh, sebanyak 77 peratus rakyat Pulau Pinang menyatakan bahawa mereka ‘sangat gembira’ dan ‘gembira’ tinggal di negeri ini, berbanding 61 peratus di Johor dan 39 peratus di Lembah Klang.

“Pulau Pinang memiliki kerajaan yang bersih, persekitaran yang sihat dan rakyat yang bahagia,” selorohnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Boon Poh bersamasama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyempurnakan acara perasmian karnival tersebut.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Joshua Woo Sze Zeng antara pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hadir pada program tersebut.

Pada majlis sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon diiringi Yang di-Pertua (YDP) MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut menyerahkan 136 tong kitar semula kepada 34 wakil sekolah.

Tong kitar semula itu adalah sumbangan syarikat Amphenol TCS, Dato’ Lee Teong Li.

Serentak itu, turut dilancarkan kempen ‘Meatless Monday’ untuk mengalakkan orang ramai, tidak kira bangsa dan agama supaya mengurangkan makanan daging.

Pembukaan 50 gerai bazaar hijau, pertandingan tukang masak hijau, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, zumba hijau, kelas mengajar masakan hijau, pertandingan pengetahuan am merupakan antara acara menarik dalam karnival itu.

Program tersebut adalah anjuran pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Penang Green Council (PGC), Idealite, JCI United Penang, Lions Club, Grow Community Market, BP Healthcare Group dan Vees.