MBPP edar woven bag sokong Kempen Hari Tanpa Beg Plastik

Admin

BALIK PULAU – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam mengedarkan woven bag di sekitar Bazaar Ramadan Masjid Daerah Balik Pulau di sini sebagai kempen Hari Tanpa Beg Plastik.

 

Ahli Majlisnya, Aidil Akhbal Mohamed Zainon ketika ditemui berkata, pengedaran beg-beg tersebut kepada pengunjung bazaar dilakukan sebagai simbolik untuk menggalakkan orang ramai agar tidak lagi menggunakan beg plastik yang secara umumnya diketahui mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

 

“Lazimnya seperti diketahui pada bulan puasa sememangnya bazaar ramadan merupakan tumpuan utama masyarakat untuk mendapatkan juadah dan pelbagai keperluan lain.

 

“Justeru, untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kalangan pengunjung, Majlis mengambil inisiatif mengedarkan woven bag secara percuma yang boleh menggantikan beg plastik bagi meletakkan barangan yang dibeli.

 

“Ini tidak hanya dijalankan sepanjang Ramadan sahaja, tetapi kita (MBPP) akan meneruskan kesinambungan usaha ini dalam memastikan masyarakat benar-benar faham dan terdidik untuk membawa beg mereka sendiri setiap kali keluar membeli-belah,” ujar beliau.

 

Bagi menjayakan kempen berkenaan, difahamkan sejumlah 650 woven bag telah diedarkan kepada pengunjung di tiga lokasi Bazaar Ramadan sekitar kawasan pulau.

Serentak itu, Aidil Akhbal turut memberikan didikan dan penerangan ringkas kepada pengusaha-pengusaha minuman berhubung Kempen Tak Nak Penyedut Minuman.

 

Rata-rata pengusaha minuman yang ditemui menyokong kempen berkenaan.