MBPP tetapkan fi baru di Tapak Pelupusan Sampah Jelutong mulai 1 Jun

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan cadangan penggunaan struktur fi baru bagi pelupusan di Tapak Pelupusan Sampah Jelutong mulai 1 Jun ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, langkah tersebut adalah bagi menyelaraskan kadar fi mengikut tahap pencemaran dan kapasiti sampah.

“Bagi lori enam roda (iaitu 13 tan), kita (MBPP) telah menurunkan kadar fi daripada RM65 sebelum ini kepada RM54 per trip (setiap perjalanan) manakala bagi lori 10 roda (24 tan) pula dikurangkan daripada RM120 sebelum ini kepada RM100 / trip iaitu pengurangan sebanyak 17 peratus.

“Bagi lori empat roda (2.4 tan) pula, fi yang dikenakan adalah kekal iaitu RM10 / trip,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biasa, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP.

Dalam perkambangan lain, Tung Seang menjelaskan bahawa pihaknya juga akan melaksanakan kutipan letak kereta bagi 13 jalan di bahagian pulau melibatkan 228 bilangan petak baharu.

“Kutipan parkir ini melibatkan kawasan perniagaan dan pejabat yang akan berkuat kuasa selepas sebulan daripada sekarang,” jelasnya.

Difahamkan, antara jalan-jalan terlibat adalah Persiaran Sungai Dua, Jalan Pantai Aziz Ibrahim (30), Jalan Pantai Jerejak 13, Jalan Pantai Jerejak 15, Lorong Leandro’s, jalan servis di sebelah Jalan C.Y Choy, dan jalan-jalan servis di sebelah Jalan Jelutong dan Lorong Perak.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : FOONG CHEE YIN