MBPP harap kerjasama awam, tidak buang pelitup muka di merata tempat

XAVIER Sebastian

 

MASIH ada berbaki dua hari lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, sebelum tempoh lanjutan berakhir pada 18 Februari 2021.

Sama ada PKP 2.0 dilanjutkan atau sebaliknya di seluruh negara termasuklah di Pinang Pinang adalah bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun, menurut Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perbandaran bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Xavier Sebastian, disinfeksi atau nyah pencemaran terutama di 26 pasar awam dan 34 kompleks makanan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu (bahagian pulau) adalah berjalan seperti biasa.

Dalam temu bual melalui panggilan telefon, beliau memberitahu bahawa kerja-kerja disinfeksi oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan dilakukan pada setiap jam setiap hari dan bergantung pada keperluan semasa.

SEJAK PKP 1.0 yang bermula pada 18 Mac tahun 2020 hingga sekarang, kerja pembersihan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP adalah berjalan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang tinggi.
GAMBAR seorang ‘wira baju kuning’ sedang melakukan kerja disinfeksi pada susur tangga (railing) di sebuah kompleks makanan awam dekat bahagian Pulau.

“Semua permukaan yang berpotensi dan disentuh oleh pengunjung di pasar seperti susur tangga (railing), sinki, kepala paip, pemegang tangki simbah, butang lif, kerusi dan meja diberi keutamaan (untuk kerja-kerja nyah pencemaran ini).

“Misalnya, susur tangga atau ‘railing’ sahaja, ada sebanyak 184 ‘railing’ di pasar awam dan 132 ‘railing’ di kompleks makanan, itu belum masuk kerja-kerja pembersihan lantai dengan penggunaan ‘scrubber’.

“Tugas harian perlu diteruskan dan sama sekali tidak diabaikan,” jelasnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB pada 16 Februari 2021.

KERJA-kerja nyah disinfeksi di Stesen Bas KOMTAR.
PROSES nyah pencemaran di kawasan berisiko dilakukan pada setiap jam dan bergantung pada keperluan semasa, kata JPP MBPP.

Selain Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MBPP, beliau memberitahu bahawa ada Jabatan Perlesenan dan Jabatan Kesihatan Awam turut terlibat secara langsung di peringkat PBT demi melandaikan keluk perebakan virus COVID-19 sehingga kini.

“Kami (JPP) berada setiap hari di lapangan, terutama ‘wira baju kuning’ kami dan tidak terlibat dalam proses penggiliran kerja.

“Kami (JPP MBPP) akan memastikan anggota barisan hadapan kami semasa bertugas senantiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan yang dibekalkan.

“Walaupun agak tidak selesa memakai pelitup muka sambil bekerja kerana berpeluh, terpaksa pakai juga (pelitup muka) serta patuh SOP lain demi keselamatan bersama,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang kerana begitu menyokong kerja-kerja JPP di lapangan.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa anggota barisan hadapan dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga adalah begitu menyokong operasi JPP MBPP.

“MBPP amat komited melaksanakan arahan MKN dan JKNPP dan perkara ini kerap ditekankan oleh Datuk Bandar (Tung Seang).

“MBPP adalah PBT yang senantiasa bekerjasama dengan badan kerajaan yang lain khususnya PDRM dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dalam usaha pematuhan SOP dan keselamatan awam.

“(Justeru,) harapan kami (JPP MBPP), penglibatan komuniti amat penting, tidak bergantung pada pihak berkuasa semata-mata, perlu ada kesedaran dan kerjasama dengan kami, contohnya tidak membuat pelitup muka di merata tempat,” jelasnya lagi.

Gambar : JPP MBPP