MBPP jangka defisit RM48.9 juta bagi 2027

Admin
img 20260910 101144 edit 256289762619835

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjangkakan defisit sebanyak RM48.90 juta bagi tahun 2027, iaitu penurunan RM20.15 juta berbanding RM69.05 juta yang diunjurkan bagi tahun 2026.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A Rajendran berkata, MBPP mengunjurkan hasil sebanyak RM471.80 juta bagi 2027, manakala jumlah perbelanjaan dijangka mencecah RM520.70 juta.

“Defisit bagi 2026 yang diunjurkan sebanyak RM69.05 juta adalah antaranya disebabkan peningkatan gaji penjawat awam, kenaikan kadar gaji minimum, peningkatan harga barangan dan bahan mentah serta pelaksanaan projek berorientasikan rakyat yang sebelum ini tertangguh seperti pembinaan pasar dan pusat penjaja.

“Kita percaya defisit ini dapat dikurangkan secara berperingkat pada tahun-tahun akan datang dengan mengambil kira kedudukan kewangan MBPP dan keadaan ekonomi negara,” ujar beliau ketika membentangkan Bajet MBPP 2027 semasa Mesyuarat Biasa Majlis, pada 10 September 2026.

Mengulas lanjut, Rajendran memaklumkan bahawa meskipun berdepan defisit, kedudukan kewangan MBPP kekal kukuh dengan rizab sebanyak RM609.11 juta setakat 30 Jun 2026.

“Sumber hasil bagi 2027 dijangka terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM281.01 juta atau 59.56 peratus daripada keseluruhan hasil, diikuti hasil bukan cukai RM161.07 juta (34.14 peratus) dan terimaan bukan hasil RM29.72 juta (6.30 peratus).

“Daripada keseluruhan perbelanjaan RM520.70 juta, sebanyak RM445.65 juta atau 85.59 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi bayaran gaji, perkhidmatan dan bekalan, manakala RM75.05 juta atau 14.41 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.

“Penyediaan bajet ini mengambil kira kemampuan kewangan MBPP, perbelanjaan sedia ada dan keperluan pada masa hadapan, termasuk perkhidmatan penyelenggaraan bandar serta pelaksanaan pelbagai projek pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, Rajendran berkata, Bajet MBPP 2027 bertemakan ‘Bandar Lestari Menuju Bandar Maju, Berdaya Tahan dan Inklusif’ dengan fokus kepada penggunaan teknologi inovatif serta kelestarian bandar.

Menurut beliau, sebanyak RM171.76 juta diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif bandar lestari, termasuk kebersihan, pengurusan sisa pepejal, penghijauan, adaptasi perubahan iklim, keselamatan serta pembangunan taman dan ruang awam.

Turut diperuntukkan RM10.85 juta bagi infrastruktur awam, RM8.37 juta untuk bangunan warisan, RM5.64 juta kemudahan pejalan kaki, RM5 juta aplikasi bandar pintar dan RM340,000 bagi inisiatif bandar mesra warga emas.

Pada masa sama, Rajendran menyatakan bahawa MBPP turut memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menjalankan pemeriksaan struktur dan masalah anai-anai terhadap 3,853 bangunan warisan di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town.

“Pemeriksaan yang dijangka bermula pertengahan bulan ini akan dilaksanakan dengan melantik jurutera serta syarikat kawalan anai-anai, sebelum tindakan susulan diambil berdasarkan hasil pemeriksaan.

“Kita telah berbincang dengan Institut Jurutera Malaysia (IEM) dan pemeriksaan akan dimulakan dengan melihat keadaan luaran bangunan terlebih dahulu. Sekiranya didapati keadaannya tidak memuaskan, kita akan meminta pemeriksaan lanjut dilakukan di bahagian dalam bangunan,” tambahnya.

Hal itu, katanya, mendorong MBPP meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan bangunan warisan serta mengeluarkan 26 notis kepada pemilik sehingga 1 September lalu bagi tindakan pemeriksaan dan pembaikan.

Dalam perkembangan sama, MBPP akan memasang empat stesen cuaca bagi memantau kualiti udara, khususnya keadaan jerebu di kawasan bandar, di bawah Pelan Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP).

Menurut Rajendran, stesen berkenaan akan ditempatkan di hadapan tempat letak kereta bertingkat di Lebuh Tek Soon, persimpangan Lebuh Acheh dan kawasan Pengkalan Weld, manakala data berkaitan boleh diakses orang awam menerusi aplikasi Pearl One Touch Penang.

Malah, MBPP turut memanfaatkan inventori digital pokok, teknologi Light Detection and Ranging (LiDAR), teknologi satelit dan analisis data bagi memantau kesihatan pokok serta mengenal pasti risiko pokok tumbang.

“Sesetengah pokok mungkin kelihatan sihat dari luaran walaupun batangnya telah reput atau akarnya tidak dapat berkembang dengan baik. Justeru, pemeriksaan invasif turut dijalankan jika diperlukan bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai keadaan pokok.

“Pemeriksaan ini dilaksanakan secara berterusan dan sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun, khususnya terhadap pokok-pokok yang berusia.

“MBPP telah menebang 279 pokok pada tahun ini dan penanaman semula akan dilaksanakan pada nisbah satu kepada lima, membabitkan 1,395 pokok baharu,” jelasnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL