Penghuni PPR Taman Manggis diberi tempoh, RTO turut ditawarkan – Exco

img 5125

 

GEORGE TOWN – Penduduk yang terlibat dengan arahan pengosongan unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis baru-baru ini telah diberikan tempoh secukupnya untuk mendapatkan kediaman baharu selepas didapati tidak lagi memenuhi syarat kelayakan.

Menurut Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo, pihaknya pada peringkat awal telah mengeluarkan notis pengosongan pada Mac lalu dengan tempoh tiga bulan, sebelum lanjutan tempoh dipertimbangkan bagi penduduk yang memohon atas faktor kesukaran mendapatkan kediaman baharu.

“Surat notis telah dikeluarkan sejak awal tahun ini dan penduduk telah diberikan masa untuk mencari rumah.

“Malah, bagi dua orang penduduk telah ditawarkan unit untuk diduduki melalui kaedah sewa beli (RTO) dan mereka telah menerima tawaran tersebut.

“Kita telah beri masa, tetapi tempoh tambahan itu tidak boleh berlanjutan sehingga tiga tahun atau 30 tahun lagi,” katanya pada sidang media di Komtar di sini, sebentar ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim; Ketua Pegawai Penguat Kuasa LPNPP, Asmahani Abo Mansor serta ketua-ketua bahagian LPNPP.

Jelas Sundarajoo, LPNPP turut mengambil pendekatan berhemah dengan menawarkan alternatif kediaman melalui skim RTO mengikut kesesuaian dan saiz keluarga, termasuk unit dengan satu, dua atau tiga bilik.

Katanya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan yang benar-benar memerlukan mendapat tempat tinggal yang sesuai.

“Kalau ada unit-unit sedemikian, pasukan kita di LPNPP akan terlebih dahulu menawarkan rumah kepada mereka, mengikut saiz keluarga.

“Kemudian dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kita tawarkan peluang untuk membeli rumah secara sewa beli dan kalau tidak mahu membeli, itu adalah pilihan masing-masing,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Dalam pada itu, beliau menegaskan unit perumahan yang disediakan Kerajaan Negeri perlu dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak dan memerlukan, terutama ketika masih terdapat ramai keluarga yang tidak mempunyai kediaman tetap.

Sundarajoo berkata, pihaknya turut menerima kes keluarga yang terpaksa mendapatkan perlindungan sementara di pusat transit sebelum dibantu mendapatkan kediaman yang lebih sesuai.

“Di luar sana masih ramai yang tidak mempunyai rumah dan ada yang terpaksa tinggal di pusat transit.

“Jadi, kita kena bantu mereka mendapatkan rumah dengan cara yang mudah.

“Kalau kita mempunyai unit yang mencukupi, lebih mudah untuk kita bantu keluarga ini daripada mereka terpaksa tinggal di pusat transit selama tujuh hingga 10 hari,” tegasnya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri bersikap kejam atau tidak prihatin terhadap penduduk yang diarahkan mengosongkan unit berkenaan.

Sebaliknya, ulas beliau, tindakan itu dibuat selepas semakan kelayakan dan mengambil kira keperluan untuk memastikan unit perumahan awam terus diberikan kepada golongan sasaran.

“Kerajaan Negeri ada banyak program dan kita sudah tawarkan rumah untuk sewa beli, tetapi kalau tidak mampu atau tidak mahu mengambil inisiatif, kita juga tidak boleh terus melanjutkan tempoh tanpa had.

“Setiap insan ada tanggungjawab untuk menjaga keluarganya dan kita perlu melihat perkara ini secara adil kerana masih ramai yang benar-benar memerlukan rumah,” katanya.

Mengulas keadaan sebahagian unit di Taman Manggis, Sundarajoo memberitahu bahawa terdapat kediaman yang telah diduduki dalam tempoh lama dan melalui pelbagai pengubahsuaian sehingga tidak lagi kelihatan seperti unit perumahan kos rendah.

“Kalau lihat sendiri di Taman Manggis, ada unit yang sudah dipasang penghawa dingin, siling dan pelbagai kelengkapan sehingga kelihatan seperti kondominium.

“Ini menunjukkan ada yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan perumahan yang sepatutnya disediakan untuk golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan proses semakan dan pemutihan terhadap penghuni yang dikenal pasti tidak lagi memenuhi syarat kelayakan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan kes yang sedang diteliti, 19 kes telah diambil tindakan pada peringkat awal, manakala kira-kira 103 kes lagi masih dalam proses untuk disemak mengikut fasa.

Terdahulu, beberapa unit PPR Taman Manggis telah disita pada awal September selepas penghuni yang terlibat dipercayai tidak lagi memenuhi syarat kelayakan untuk menduduki rumah berkenaan.