GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menetapkan had masa serta bilangan lorong yang boleh ditutup bagi kerja jalan termasuk projek berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT), dalam usaha mengurangkan kesan terhadap kelancaran trafik.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, bagi jalan-jalan utama, sebahagian kerja yang melibatkan pemotongan jalan, pemasangan utiliti dan kerja pembinaan projek LRT disyaratkan dilaksanakan pada waktu malam.
“Untuk kerja-kerja waktu malam yang melibatkan kerja-kerja pemotongan jalan untuk pemasangan utiliti ataupun kerja-kerja pembinaan yang melibatkan projek LRT, kita mensyaratkan kerja-kerja hanya boleh dimulakan selepas pukul 10 malam.
“Di lokasi-lokasi tertentu yang mempunyai isipadu aliran lalu lintas agak tinggi, kita syaratkan kerja bermula pada pukul 11 malam,” katanya ketika menjawab soalan media selepas Mesyuarat Biasa Majlis dekat Irving Chamber pada 30 September 2026.


Mengulas lanjut, Rajendran turut memaklumkan bahawa kerja-kerja berkenaan juga perlu disiapkan pada awal pagi bagi membolehkan jalan dibuka semula kepada aliran lalu lintas.
Tambahnya, bagi kawasan perumahan pula, kerja-kerja biasanya dihadkan pada waktu malam dan dibenarkan dilaksanakan pada waktu pagi serta tengah hari.
“(Kawasan) George Town dan Pulau Pinang sedang membangun dan kita perlu ada projek-projek ini, apa-apa kesulitan yang berlaku adalah untuk tempoh sementara sahaja.
“Namun, kita mengambil inisiatif untuk memastikan kesan kepada penggunaan lalu lintas diminimumkan dengan menetapkan bilangan lorong yang boleh ditutup serta tempoh penutupan,” jelasnya lanjut.
Dalam perkembangan sama, Rajendran turut menegaskan bahawa pihak MBPP memberi perhatian terhadap isu kesesakan dan parkir di sekitar Jalan Residensi yang menjadi laluan utama menghubungkan kawasan pusat bandar ke Jalan Scotland.
Jelas beliau, Jalan Residensi mempunyai beberapa cabang utama termasuk Jalan Macalister yang sememangnya berdepan kesesakan pada waktu puncak, selain permintaan parkir di tepi jalan yang tinggi khususnya di sekitar Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kita membenarkan peletakan kenderaan di lokasi-lokasi tertentu yang tidak membahayakan, iaitu dari Jalan Sepoy Lines ke Jalan Hargreaves.
“Walau bagaimanapun, kita tidak membenarkan di simpang-simpang lampu isyarat di Jalan Residensi, Jalan Macalister, Lebuhraya Codrington dan Lebuhraya Peel kerana terlalu dekat dengan simpang dan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.
Pada masa sama, parkir juga tidak dibenarkan di bahagian Jalan Residensi yang bertentangan dengan kawasan HPP kerana sebahagian jalan berkenaan telah digunakan pihak hospital untuk kerja-kerja pembangunan.
“Pihak MBPP masih bertolak ansur dengan parkir di bahagian lain Jalan Residensi sehingga pukul 5 petang, sebelum tindakan diambil terhadap kenderaan yang masih diletakkan di situ.
“Malah, saya turut difahamkan pembinaan hospital baharu turut dijangka membantu menangani isu kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan Hospital Pulau Pinang dengan penyediaan lebih 400 petak parkir dalam bangunan bertingkat,” tambahnya.
Sementara itu, sebanyak sembilan notis perintah khidmat masyarakat berkaitan kesalahan membuang sampah kecil telah dikeluarkan hasil tindakan penguatkuasaan MBPP.
Daripada jumlah itu, lima kes melibatkan warganegara Malaysia manakala empat lagi membabitkan bukan warganegara.
“Setakat ini, satu keputusan telah diperoleh iaitu seorang lelaki warganegara telah dikenakan denda RM500 dan lapan jam perintah khidmat masyarakat.
“Beliau telah menjalani dua jam khidmat masyarakat dan masih mempunyai enam jam lagi untuk diselesaikan manakala lapan kes lagi masih dalam proses perbicaraan dan keputusan akan dimaklumkan kepada pihak media selepas prosiding selesai,” jelasnya.
Difahamkan, lima warganegara Malaysia yang dikenakan tindakan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, manakala bukti kes diperoleh melalui rakaman video serta hasil intipan.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD