MBPP komited realisasi hasrat jadikan Pulau Pinang hab seni kreatif

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa komited dalam merealisasikan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang memartabatkan kesenian dan kreativiti.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, sudah menjadi hasrat pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk menjadikan Pulau Pinang bukan sahaja sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat tetapi juga menjadikan negeri ini sebagai hab kesenian.

“Salah satu usaha adalah melalui seni bina arca pasir hasil kreativiti artis muda tempatan, Muhamad Ikhwan Ibrahim dan MBPP berasa sungguh bangga dan bertuah kerana dapat berkerjasama lagi dengan beliau untuk menjayakan arca bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 dan Hari Malaysia,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Arca Pasir ‘I Love Penang‘ dekat Persiaran Karpal Singh pagi ini.

MUHAMAD Ikhwan Ibrahim (kanan sekali) memberi penerangan berhubung arca pasir yang dihasilkannya kepada Ar. Yew Tung Seang (dua dari kanan) dan Lim Siew Khim (dua dari kiri) sejurus majlis berkaitan di sini.

 

Hadir menyempurnakan perasmian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Menurut Tung Seang, kerjasama dengan Ikhwan Saloot Visual Artist merupakan salah satu contoh kerjasama antara MBPP dengan artis tempatan yang berbakat.

“Saya harapkan agar lebih ramai anak tempatan akan mencontohi usaha beliau dalam menghasilkan seni yang pertama seumpamanya di sini hingga berkembang ke peringkat antarabangsa.

“(Dan) menjadi satu keperluan bagi MBPP untuk memastikan ruang awam seperti di sini digunakan oleh orang ramai bukan sahaja untuk beriadah dan berinteraksi tetapi juga menunjukkan kreativiti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ikhwan ketika ditemui berkata, pemilihan warna-warna pada arca pasir ‘I Love Penang‘ itu adalah berdasarkan warna pada Jalur Gemilang iaitu putih, merah, biru gelap dan kuning, dalam menyemarakkan lagi perasaan cintakan Malaysia.

Turut terukir adalah tema Hari Kebangsaan ‘Sayangi Malaysiaku’ dan perkataan ‘MBPP’ serta dihiasi dengan ‘bunga raya’ dan bentuk ‘hati’.

Difahamkan, pembinaan arca ini mengambil masa selama lima hari dengan menggunakan dua tan pasir.

Awal tahun lalu, sempena sambutan Tahun Baru Cina, Ikhwan turut menghadiahkan arca pasir berbentuk ayam kepada mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Orang ramai yang berkelapangan bolehlah mengunjungi Persiaran Karpal Singh bersebelahan restoran makanan segera, Mc Donalds untuk menikmati keindahan arca pasir yang mula dipamerkan pada 31 Ogos lalu sehingga 16 September 2018 ini.