MBPP lulus 28 lesen penganjur bazar Ramadan, galak peniaga sertai tapak sah

Admin
img 3887

 

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengesahkan sebanyak 110 permohonan bagi penganjuran bazar Ramadan telah diterima pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pasar Pagi, Pasar Tani, Pasar Malam dan Pasar Ramadan, Ooi Mei Mei berkata, daripada jumlah permohonan yang diterima itu, sebanyak 28 diluluskan termasuk 15 pemohon individu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis MBPP berkata, pihaknya amat menggalakkan peniaga individu untuk memanfaatkan tapak-tapak pasar Ramadan yang telah disediakan di bawah seliaan penganjur sah bagi memastikan aktiviti perniagaan lebih teratur.

“Kita mahu menggalakkan orang ramai yang ingin berniaga supaya memasuki tapak-tapak pasar Ramadan berdekatan yang telah disediakan oleh penganjur.

“Ini penting bagi memastikan tiada peniaga yang ketinggalan, di samping mengelakkan aktiviti perniagaan di tepi jalan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya kepada Buletin Mutiara di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama di sini pada 12 Februari 2026.

Tambah Mei Mei, individu yang berminat untuk berniaga boleh berhubung terus dengan penganjur atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kekosongan tapak.

Menurutnya lagi, pihaknya menjangkakan beberapa bazar Ramadan akan menjadi lokasi tumpuan (hotspot) antaranya di Prangin Mall, Sungai Dua dan Kampung Melayu.

Menyentuh mengenai aspek keselamatan dan pengurusan bazar Ramadan pula, Mei Mei menjelaskan bahawa kawalan trafik menjadi antara keutamaan MBPP pada tahun ini.

“Pihak MBPP memohon agar semua penganjur menyediakan anggota Rela atau petugas keselamatan bagi mengawal aliran trafik di sekitar kawasan tapak perniagaan.

“Selain itu, bagi memperkasakan agenda hijau negeri, kami amat menggalakkan pengunjung membawa bekas makanan sendiri (BYOC) dan beg kitar semula apabila mengunjungi pasar Ramadan,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa sesi taklimat secara dalam talian bersama semua penganjur akan diadakan esok bagi memastikan garis panduan serta syarat penganjuran dipatuhi sepenuhnya sebelum operasi bermula.

Ditanya lanjut, beliau menjelaskan bahawa permohonan lesen sementara untuk operasi menjual lemang adalah berasingan dan permit perniagaan tersebut dibuka dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Pada minggu depan, kita akan membuka permohonan di platform uLesen (Sistem Pengurusan Lesen MBPP). Mereka boleh memohon di sana (https://ulesen.mbpp.gov.my/),”
katanya.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB