MBPP lulus kebenaran operasi parkir, Pusat Penyimpanan dan Pengedaran Ayam

Admin
SUASANA Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 5 yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran di Dewan Bandaraya di sini pada 25 Mei 2023.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan permohonan kebenaran pengoperasi tempat letak kenderaan dekat Pusat Penyimpanan dan Pengedaran Ayam beserta tapak parkir di atas sebahagian Lot 1576 Seksyen 3 Bandar Jelutong dengan kadar caj letak kereta RM1/jam dan RM8 sehari.

A. Rajendran

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran semasa mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 5 pada pagi tadi memberitahu bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan pada 15 Mei lepas telah membuat keputusan tersebut.

“(Dengan) adanya 223 petang parkir di sana, diharap dapat menangani isu tapak parkir sekitar Pasar Awam Batu Lancang yang tidak cukup sebelum ini.

“Pusat Penyimpanan dan Pengedaran Ayam itu masih dalam proses tender, tetapi operasi tempat letak kenderaan kita (MBPP) akan mulakan terlebih dahulu,” jelasnya dalam sidang media di Dewan Bandaraya dekat sini pada 25 Mei 2023.

Menurutnya lagi setakat ini MBPP tidak mencadangkan masa pengoperasi parkir di sana selama 24 jam, memadai bagi tempoh 8.00 pagi hingga 7.00 malam.

“Tetapi, kita (MBPP) boleh pertimbangkan masa pengoperasi (di tapak parkir tersebut) selama 24 jam jika ada keperluan itu,” respons beliau lagi.

Sebelum itu, Rajendran mengumumkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MBPP yang memberikan pengecualian cukai kepada Pusat Dialisis Buddhist Tzu-Chi dekat Jalan Perak dengan nilai tahunan sebanyak RM604,020; Pusat Pengajian Buddhist Tzu-Chi di Jalan Macalister (RM554,580) dan Geodesic Dome atau Dewan Tunku Komtar (RM933,440).

Buletin Mutiara difahamkan Rajendran mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar MBPP pada 9 Mei lepas dan pada pagi ini merupakan kali pertama beliau mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN