Kebenaran operasi STRA bagi kediaman komersial di bawah kawasan pentadbiran MBPP

Admin
A. Rajendran

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini mengumumkan kebenaran pengoperasi penginapan sewaan jangka pendek (STRA) bagi bangunan komersial sahaja, sama ada hartanah jenis berstrata mahupun di atas tanah sekitar kawasan pentadbirannya dekat sebelah pulau sahaja.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa kebenaran tersebut adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan Bil. 7 yang diadakan pada 6 April lepas.

“Untuk (bahagian pulau) Pulau Pinang, kita (MBPP) membenarkan penginapan ini untuk bangunan-bangunan komersial sahaja sama ada berstrata atau bertanah,” jelasnya dalam sidang media berkaitan seusai mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis MBPP di Dewan Bandaraya di sini pada 25 Mei 2023.

SUASANA Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 5 yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran di Dewan Bandaraya di sini pada 25 Mei 2023.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau berkata setakat ini MBPP belum mempunyai Undang-Undang Kecil (UKK) khusus untuk menguatkuasakan pengoperasian STRA.

Pun begitu, beliau berkata MBPP akan menggunakan undang-undang berkaitan sedia ada seperti Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, sekiranya menerima aduan kacau ganggu daripada mana-mana pihak termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

“Sementara menunggu proses mewujudkan undang-undang kecil berkaitan, kita (MBPP) akan menggunakan undang-undang sedia ada (seperti berkaitan masalah) kacau ganggu.

“Kita boleh gunakan peruntukan sedia ada, sememangnya tindakan penguat kuasa boleh diambil (yang mana) pihak melanggar undang-undang boleh dikenakan denda,” jelasnya lagi.

Berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013, jelas Rajendran lagi bahawa JMB atau MC melalui mesyuarat agung tahunan (AGM) masih boleh membuat ketetapan serta syarat-syarat berkaitan pengoperasian STRA demi mengelak kejadian kacau ganggu di kawasan kediaman mereka.

Terdahulu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo antara lain dilaporkan berkata Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasi Tempat Inap Persendirian di Skim Hartanah Berstrata dan Skim Kediaman Atas Tanah, yang sepatutnya dikuatkuasakan pada awal tahun ini.

Semasa itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu turut dilaporkan memberitahu bahawa garis panduan tersebut dirangka bersama-sama kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan sejak Disember 2021 dan lebih 90 peratus siap.

Dalam reaksi susulan, firma hospitaliti global, Airbnb dilaporkan meminta Kerajaan Negeri mempertimbang semula draf cadangan STRA kerana dikhuatiri akan menjejaskan proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi pasca pandemik COVID-19 di Pulau Pinang.

Perkembangan terbaru dalam Mesyuarat Biasa Majlis pada pagi tadi, Rajendran antara lain mengumumkan bahawa setelah berbincang Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan MBPP bersetuju dan mengambil maklum kertas kerja makluman berkenaan Pindaan Garis Panduan Untuk Pangsapuri Perkhidmatan di (kawasan pentadbiran) MBPP 2023.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN