MBPP hasrat tingkatkan populasi di Tapak Warisan Dunia

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membenarkan pemindahan baki nisbah plot (plot ratio) yang dibenarkan di Tapak Warisan Dunia George Town bagi meningkatkan populasi penduduk di kawasan berkenaan.

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, nisbah plot bagi kawasan tersebut boleh dipindahkan ke luar Tapak Warisan tetapi perlu memasukkan komponen kediaman.

 

“Contohnya anda adalah pemilik tanah atau bangunan dalam Tapak Warisan Dunia dan mahu menaik taraf hartanah bertingkat (contohnya melebihi ketinggian tingkat dibenarkan).

 

“Di bahagian bawah anda jadikan lot komersial dan sekiranya dimasukkan elemen tempat tinggal di tingkat satu sebagai nisbah plot maka anda boleh memohon kepada MBPP untuk memindahkan nisbah plot itu ke luar (Tapak Warisan Dunia).

 

“Justeru, anda boleh sama ada mahu memajukan sendiri atau bekerjasama dengan mana-mana pemaju dari luar yang memerlukan nisbah plot tambahan bagi projek mereka di luar Tapak Warisan Dunia,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Biasa (MBM) MBPP dekat Dewan Bandaraya semalam.

 

Tambahnya lagi, melalui syarat tersebut, nisbah plot hanya layak dipindahkan sekiranya pemajuan di hartanah pemilik merangkumi perancangan mewujudkan lot kediaman sebagai tempat tinggal.

 

Komponen kediaman bagi cadangan pemajuan di dalam Tapak Warisan Dunia George Town hendaklah dikekalkan selamanya dan tidak dibenarkan untuk ditukar guna kepada kegunaan lain.

 

“Walau bagaimanapun, untuk pembangunan nisbah plot di luar kawasan Tapak Warisan Dunia, pemilik masih tertakluk kepada keperluan-keperluan asas teknikal seperti parkir kereta, ketinggian dan lain-lain.

 

“Tujuannya adalah supaya kita mahu lebih ramai penduduk tinggal di Tapak Warisan Dunia melalui elemen kediaman ini,” jelasnya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD