Pameran seni lukis ‘BELANG’ tingkat kesedaran umum lindungi kepupusan Harimau Malaya

GEORGE TOWN – Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) bakal menganjurkan satu pameran seni lukis bermula dari 1 hingga 31 Mac depan.

Pameran bertajuk ‘BELANG’ itu juga adalah hasil kerjasama dengan Taman Negara Semenanjung Malaysia yang diadakan bersempena dengan kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019 – 2020.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata pameran secara percuma tersebut bakal diadakan di Galeri Aras 3, Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang.

“Tujuan sebenar pameran ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan untuk melindungi Harimau Malaya yang diancam kepupusan

“Setiap daripada karya ini akan dijual dan sebahagian daripada hasil kutipan jualannya akan disalurkan ke dalam tabung kempen berkaitan,” ujar beliau.

Hadir sama, Pengarah Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad; Saat Yaakob (Pengarah PERHILITAN) dan Ivan Gabriel (kurator jemputan).

Ivan Gabriel ketika ditemui memberitahu bahawa sebanyak 75 buah karya seni yang dihasilkan daripada pelbagai medium bakal ditampilkan bersempena kempen berkenaan.

“Kira-kira 75 orang artis dari dalam serta luar negara telah mengambil bahagian untuk menjayakan kempen ini.

“Mereka (artis) telah dipilih berdasarkan kredibiliti, gaya dan pendekatan dalam seni serta sumbangan mereka terhadap usaha menyelamatkan Harimau Malaya,” tambahnya.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: WO YEE QI