MBPP, MBSP terus pantau situasi COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan terus memantau situasi COVID-19 di negeri ini dan pada masa sama meneliti dari semasa ke semasa pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) secara lokal.

 

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Kerja Daerah Barat Daya bagi memperhalusi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dikuatkuasakan mulai 6 hingga 19 November ini.

AR. Yew Tung Seang.

 

“Hari ini merupakan hari ke-233 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

“Susulan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, MBPP akan mengadakan mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Kerja Daerah Barat Daya bagi memperhalusi SOP yang bakal dikuatkuasakan nanti.

 

“(Dan) pengumuman berkaitan akan umumkan dari semasa ke semasa melalui laman media sosial MBPP,” ujarnya ketika hadir pada sidang media berhubung status terkini COVID-19 di Pulau Pinang bersama-sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo pagi ini di Komtar.

 

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Razali; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

 

Ditanya mengenai penutupan taman-taman rekreasi dan riadah di bahagian pulau, Tung Seang memaklumkan bahawa bukan semua taman rekreasi dan riadah ditutup.

 

Hanya beberapa taman sahaja itupun berdasarkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

 

“Misalnya Japanese Garden membabitkan Kluster Tembaga ditutup bagi mengurangkan pergerakan.

 

“Begitu juga Taman Metropolitan meskipun bukan berada dalam PKPB tetapi mungkin akan ditutup, pihak kami (MBPP) akan bermesyuarat mengenainya dan pengumuman lanjut akan dibuat nanti,” ulasnya.

 

Difahamkan, lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai beriadah di Seberang Perai Utara, Vision Park juga masih ditutup sejak 15 Ogos lalu dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

 

Sementara itu, Rozali memaklumkan bahawa di Seberang Perai, apabila berlaku peningkatan kes positif COVID-19 setiap hari terutama di kawasan Seberang Perai, pihaknya mengambil beberapa langkah kawalan.

 

SR. Rozali Mohamud.

“Antaranya adalah dengan mengarahkan 122 pasar malam, pasar pagi dan 2012 premis makanan untuk meningkatkan kawalan SOP dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan serta imbas Kod QR MySejahtera.

 

“Keduanya adalah dengan memperkenalkan inisiatif baharu bekerja dari rumah (WFH) yang mana 50 peratus kakitangan akan WFH setiap hari Jumaat bagi mengurangkan pergerakan manusia.

 

“Begitu juga dengan galakan membawa bekal makanan sendiri tanpa perlu keluar ke premis makanan luar, namun, usah bimbang, tahap perkhidmatan di MBSP tetap sama,” ujarnya yang turut menggalakkan orang awam agar berurusan di cyber-counter berbanding hadir ke kaunter berpusat di Menara Bandaraya MBSP.

 

Selain itu, tambahnya, pasukan yang mengadakan lawatan tapak juga digalakkan memanfaatkan penggunaan teknologi seperti drone dan kamera litar tertutup (CCTV).

 

“Bilangan mesyuarat juga dikurangkan yang mana tumpuan diberikan terhadap kerja hakiki atau jika ada keperluan boleh bermesyuarat secara dalam talian.

 

Malahan, mulai 1 November 2020, setiap minggu di setiap daerah akan diadakan pemantauan secara bersepadu dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memantau pematuhan SOP di premis-premis atau tapak berkaitan.

 

“Aktiviti gotong-royong juga ditangguhkan sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN