PKPB : Rakyat diminta kekal tenang, terus patuhi SOP

GEORGE TOWN – Rakyat di negeri ini yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dinasihatkan supaya kekal tenang dan tidak panik.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian susulan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung pelaksanaan PKPB di Mukim 12, Daerah Barat Daya berkuat kuasa mulai 6 hingga 19 November ini.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan keselamatan awam dan kesihatan rakyat di negeri ini yang mana pemantauan rapi akan diteruskan termasuk di kawasan PKPB seperti sebelum ini.

 

“(Dan) seperti saranan oleh Ketua Menteri semalam, saya juga ingin menyeru supaya semuanya kekal tenang dan paling penting adalah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya pada sidang media berhubung status terkini COVID-19 di Pulau Pinang yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pagi ini.

 

JAGDEEP Singh Deo.

Turut sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Razali; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

 

Mengulas mengenai kewujudan kluster baharu, Jagdeep memaklumkan bahawa melalui Mesyuarat Exco yang diadakan semalam, beliau telah memberi laporan berhubung beberapa kluster baharu antaranya Kluster Penjara Reman Pulau Pinang; Kluster Penjara Reman Seberang Perai (di Jawi); Kluster Alma; Kluster Permatang; Kluster Bayan dan Kluster Tembaga.

 

Paling penting adalah di semua kawasan ini dari permulaan menjadi kluster kita (Kerajaan Negeri bersama-sama pihak berwajib) telahpun menjalankan ujian saringan.

 

“Sebagai contoh, sehingga 3 November 2020, sejumlah 11,315 ujian saringan telah dilakukan di empat kluster utama iaitu Kluster Penjara Reman Pulau Pinang (4,279 saringan); Kluster Penjara Reman Seberang Perai (4,640); Kluster Bayan (1,593) dan Kluster Alma (803).

 

“(Dan) mengikut data KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terdapat 253 kes aktif di Pulau Pinang (sehingga 3 November 2020),” jelasnya.

 

Dalam pada itu, bagi pemeriksaan dan pemantauan pematuhan SOP pula, Jagdeep memberitahu bahawa sehingga 3 November 2020, daripada 409,165 pemeriksaan oleh MBPP, 99.69 peratus patuh SOP.

 

Manakala bagi MBSP kadar pematuhan adalah 99.35 peratus daripada keseluruhan 633,632 pemeriksaan yang dilakukan secara bersepadu dengan pihak berkuasa.

 

(Hal ini bermakna) lebih daripada 1 juta pemeriksaan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini dalam usaha melawan ‘musuh tersembunyi’ No.1 ini.

 

“Saya yakin bahawa rakyat Pulau Pinang akan terus berdisiplin dan patuh terhadap SOP yang ditetapkan.

 

“Malah, saya juga telah arahkan kedua-dua Datuk Bandar supaya memberi tumpuan terhadap pemantauan pematuhan SOP.

 

“(Dan) saya faham bukan sahaja barisan hadapan tetapi juga pekerja pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MBSP) di lapangan mengalami ‘COVID-19 fatigue’ (kelesuan), namun usaha dan tekad harus diteruskan demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam terus terjamin,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada MBPP dan MBSP serta agensi berkaitan yang terlibat sepanjang pandemik ini.

 

Sebagai rekod, seramai 1,991 pekerja MBPP berada di lapangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan bagi MBSP pula melibatkan 3,049 pekerja.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN