GEORGE TOWN: Lebih 60 peratus inisiatif di bawah Pelan Induk Transformasi Digital Pulau Pinang telah berjaya direalisasikan setakat ini.
Pada masa sama, ekosistem syarikat pemula (startup) di negeri ini turut menghampiri 60 peratus daripada sasaran pendaftaran yang ditetapkan menerusi visi Penang2030.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, berkata bahawa pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa transformasi digital serta mengukuhkan daya saing ekonomi berteraskan teknologi.
“Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab inovasi, pembuatan dan teknologi serantau menerusi pembangunan ekosistem inovasi yang mampu menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi ekonomi digital negeri yang memberi penekanan kepada penghasilan inovasi, pembangunan produk, penciptaan harta intelek serta peluang ekonomi digital yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Selepas lebih lima dekad membina reputasi sebagai antara hab pembuatan dan teknologi terkemuka di Asia, Pulau Pinang kini memasuki fasa baharu pertumbuhan ekonomi dengan meneroka teknologi digital yang mampu menjana nilai dan pendapatan kepada negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pameran Inovasi The Hatchere 2026 di sebuah hotel di Jalan Argyll, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Pengurusan) Kementerian Digital, Shakib Ahmad Shakir Jamaluddin; Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit dan Pengurus Besar The Hatchere, Stanley Lee.
Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan, pencapaian tersebut turut dipacu oleh pelaburan baharu dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan semikonduktor termaju.
“Perkembangan ini memperkukuh peralihan Pulau Pinang daripada sekadar hab pembuatan kepada peneraju dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk dan inovasi.
“Kerjasama inovasi antarabangsa yang semakin berkembang juga merupakan satu petanda positif kerana bukan sahaja membawa idea baharu, malah membuka ruang kepada pemindahan ilmu, pembangunan bakat, peningkatan keupayaan serta penciptaan aktiviti ekonomi baharu.
“Justeru, pembangunan ekosistem inovasi yang kukuh amat penting kerana inovasi tidak berlaku secara bersendirian,” ujarnya.
Jelas beliau, usaha tersebut sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang 2025-2030 yang menyasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.
“Pada masa ini, syarikat global bukan sahaja mencari lokasi yang mempunyai kapasiti pembuatan, malah turut menilai keupayaan sesebuah ekosistem yang menawarkan kepakaran kejuruteraan, sokongan inovasi, tenaga kerja mahir, kerjasama industri serta rangkaian rantaian bekalan yang mantap.
“Pulau Pinang berada pada kedudukan yang amat baik untuk memenuhi keperluan tersebut hasil ekosistem industri yang matang, bakat kejuruteraan berpengalaman, institusi akademik yang kukuh serta rangkaian rantaian bekalan yang dibangunkan sejak sekian lama,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji peranan The Hatchere yang berjaya menghubungkan inovator antarabangsa dengan bakat tempatan melalui kepakaran kejuruteraan dan kekuatan sektor pembuatan negeri.
Katanya, projek-projek yang dipamerkan menerusi program itu membuktikan kerjasama antarabangsa mampu membuka lebih banyak peluang kepada jurutera, pereka bentuk, usahawan dan pengeluar tempatan.
“Usaha ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang dalam ekonomi inovasi global dan lebih penting, ia membolehkan negeri ini mencipta nilai tambah bukan sahaja dalam sektor pembuatan, malah dalam bidang kejuruteraan, pembangunan produk, penciptaan harta intelek dan aktiviti ekonomi berteraskan inovasi.
“Saya berharap penganjuran program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa, menarik aktiviti inovasi baharu serta mewujudkan peluang yang lebih luas kepada bakat tempatan, komuniti perniagaan dan generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, pelbagai produk inovasi hasil ciptaan anak tempatan dipamerkan pada program berkenaan, antaranya alat pembersih topi keledar, botol susu bayi yang dilengkapi sistem kawalan suhu serta alat pengesan mangsa hilang di laut.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: LAW SUUN TING