MBPP perkenal kadar Kompaun T+1 serendah RM10

whatsapp image 2024 03 22 at 11.31.12 am

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menawarkan penyelesaian kompaun bagi kesalahan meletakkan kenderaan serendah RM10.

 

whatsapp image 2024 03 22 at 11.33.42 am (1)

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bagi mereka yang mempunyai kompaun sejak tahun 2008 boleh menjelaskan kompaun  pada kadar tersebut mulai 1 Mei ini.

Katanya, tawaran itu dibuat berdasarkan persetujuan pihak MBPP untuk mengemas kini semula penetapan kadar baharu bagi kesalahan meletak kenderaan melibatkan motosikal dan kereta.

“Untuk kadar baharu yang akan diperkenalkan bermula 1 Mei ini, bagi kesalahan meletak motosikal di luar petak (A101), pengguna boleh membayar kompaun serendah RM10 dalam tempoh 24 jam.

“Kadar baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2024 apabila MBPP berhasrat memperkenalkan Kadar T+1 yang mana kompaun yang diselesaikan dalam tempoh 24 jam akan menikmati kadar yang lebih rendah berbanding kadar semasa (RM20).

“Bagi kesalahan meletak kereta di luar petak (A201), Kadar T+1 yang akan dikenakan cuma RM20 berbanding kadar semasa RM25 (1 hingga 14 hari), RM50 (lebih 14 hari) dan RM75 (lebih 45 hari).

“Jadi kalau ada saman sejak tahun 2008 boleh bayar pada 1 dan 2 Mei 2024,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 03 Tahun 2024 dekat Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong.

Menurut Rajendran, langkah pengurangan kadar kompaun tersebut dapat membantu MBPP mengutip semula jumlah saman tertunggak bernilai RM61 juta sejak 2008.

Sementara itu, Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey memberitahu bahawa penetapan kadar tersebut bukan berbentuk promosi sebaliknya ia selaras dengan langkah PBT itu mengemas kini dan perkenalkan kadar bayaran baharu  T+1.

“Saya gesa orang ramai supaya merebut peluang ini untuk jelaskan saman tertunggak dengan kadar harga yang lebih murah, ia mungkin datang sekali seumur hidup yang mana saman lama anda diberikan pada kadar T+1 pada 1 dan 2 Mei ini,” ujar Jie Wey kepada pemberita.

 

40f3d191 fb08 4d8a b27b 24b82c448b0e

Pada sidang media sama, Rajendran melantik Ahli Majlis MBPP, Quah Boon Lim dalam memperkasakan penguatkuasaan anti-litter.

“MBPP akan bertindak lebih tegas ke atas mereka yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata terutamanya di kawasan awam bermula di Gurney Bay, Padang Kota, Persiaran Karpal Singh dan beberapa lokasi lagi.

“Ini termasuk memberi makan kepada binatang seperti burung merpati kerana ia akan mengakibatkan kawasan sekitar menjadi kotor, tambahan pula, hurungan merpati menimbulkan kacau ganggu dan najisnya bersifat asid.

“Pihak Majlis terpaksa membelanjakan kos tambahan bagi mencuci tempat awam seperti di siar kaki yang penuh dengan najis dan ia boleh menjejaskan kesihatan manusia dan kerosakan harta benda awam,” tegas Boon Lim.

Di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pelaku yang membuang sampah, sisa makanan boleh dikenakan kompau sehingga RM250 sekiranya didapati bersalah dalam operasi anti-litter ini.