MBPP peruntuk RM572,400 pasang lif baharu di Kompleks Pasar Awam Padang Tembak

Admin
WONG Hon Wai (kemeja merah) memotong reben sebagai tanda perasmian lif baharu di Kompleks Pasar Awam Padang Tembak baru-baru ini.

KEBUN BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan RM572,400 bagi memasang perkhidmatan lif baharu di Kompleks Pasar Awam Padang Tembak, di sini setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penduduk setempat.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dengan pemasangan lif baharu tersebut sekaligus menjadikan kemudahan di Kompleks Pasar Awam Padang Tembak kini lebih mesra pengguna.

Inisiatif ini mampu menjadikan kompleks ini mesra pengguna terutamanya kepada golongan warga emas untuk ke tingkat atas, jadi ianya lebih mudah tidak perlu lagi panjat tangga.

Selain lif, sebelum ini MBPP juga sudah menaiktaraf kemudahan-kemudahan lain yang mesra untuk semua golongan pengguna termasuk orang kurang upaya (OKU) seperti ramp untuk kerusi roda, parkir OKU dan lain-lain,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan majlis, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee dan Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali.

Menurut Hon Wai, kompleks empat tingkat tersebut yang dibina kira-kira tahun 70-an sebelum ini hanya dilengkapi dengan kemudahan tangga dan ia menyukarkan golongan warga emas dan OKU untuk ke tingkat atas yang menempatkan dewan orang ramai.

Lif ini juga akan memanfaatkan kira-kira 10,000 orang penghuni di Projek Perumahan Awam Padang Tembak yang wujud sejak tahun 1969 lagi di sini,” ujarnya lanjut.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: MBPP