MBPP sasar lebih banyak sekolah sertai Anugerah Sekolah Hijau 2017

Admin
YEW Tung Seang (barisan depan, enam dari kiri), Mohamed Akbar Mustapha
(barisan depan, enam dari kanan), Ahli-ahli Majlis MBPP serta barisan penaja
bergambar kenangan bersama-sama sebahagian wakil sekolah peserta dan para
pelajar yang hadir pada Majlis Taklimat dan Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau
2017 Peringkat Pulau di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan lebih banyak sekolah bakal mengambil bahagian dalam penganjuran Anugerah Sekolah Hijau 2017.

Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang berkata, penganjuran tahun lalu menerima penyertaan daripada 43 sekolah yang masingmasingnya terdiri daripada 18 sekolah menengah dan sekolah rendah (25).

“Berdasarkan bilangan penyertaan yang diterima tahun 2016, Majlis yakin bahawa semua sekolah peserta menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan ciri-ciri amalan hijau yang cemerlang.

“Tujuan utama program Anugerah Sekolah Hijau adalah untuk menjadikan amalan kitar semula sebagai satu budaya dalam kalangan pelajar.

“Kita berharap generasi muda ini apabila kembali ke sekolah akan menyebarkan mesej-mesej hijau yang positif kepada rakan-rakan, ibu bapa dan ahli keluarga tentang betapa pentingnya peranan setiap orang untuk mengurangkan jejak karbon,” ujarnya pada Majlis Taklimat dan Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2017 Peringkat Pulau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Buat tahun keenam, E&O Property Development dan Mah Sing Group Bhd. (tahun kedua) masing-masing telah menaja sejumlah RM10,000 untuk penganjuran berkaitan.

Dalam pada itu, Tung Seang turut menyeru setiap sekolah dan para guru agar mengadakan lebih banyak aktiviti sihat seperti acara berjalan kaki dan berbasikal.

“Alternatif ini bukan sahaja menyihatkan badan, malah juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan kereta yang pastinya akan mengurangkan jejak karbon.

“Kita (MBPP) alu-alukan pihak sekolah untuk berhubung dengan MBPP sekiranya ingin menjalankan aktiviti-aktiviti sedemikian,” jelas beliau.