MBPP teliti cadangan pemutihan hotel/chalet/rumah tumpangan/restoran kategori eko-pelancongan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

NUR Zarina Zakaria (kiri) sambil ditemani Roslan Ramly menunjukkan
pengesahan keputusan mesyuarat berhubung cadangan program
pemutihan membabitkan hotel/chalet/rumah tumpangan/restoran
kategori eko-pelancongan sejurus MBM MBPP di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses perbincangan berhubung cadangan pelaksanaan program pemutihan hotel/ chalet/rumah tumpangan/restoran kategori ekopelancongan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan MBPP, Nur Zarina Zakaria berkata, pihaknya kini masih meneliti dan melakukan perbincangan lanjut ke atas keputusan Jawatankuasa Perancang Negeri berhubung garis panduan pelaksanaan berkaitan.

“Cadangan pemutihan ini tertumpu kepada hotel/ chalet/rumah tumpangan/restoran kategori ekopelancongan yang mana ia dijustifikasikan sebagai perniagaan yang terletak di kawasan tanah bukit melebihi 76 meter atau 250 kaki.

“Buat masa ini, kita (MBPP) telah mengenal pasti tujuh perniagaan di bawah kategori ini yang masingmasing terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau dan Teluk Kumbar,” ujarnya sejurus Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) MBPP dekat Dewan Bandaraya baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong dan Timbalan Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, Roslan Ramly.

Mengulas lanjut, Nur Zarina memberitahu, usaha tersebut merupakan langkah terbaik yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengekang perniagaan yang tidak mematuhi garis panduan serta menjamin keadaan yang lebih selamat.

“Langkah ini amat bertepatan dilaksanakan kerana industri eko-pelancongan kini sedang berkembang dan secara tidak langsung membantu menjana ekonomi pelancongan di Pulau Pinang.

“Justeru, ia (perniagaan) perlulah mematuhi garis panduan. Ini kerana, kita (MBPP) ingin pastikan perniagaan-perniagaan ini dijalankan secara sah dan menjamin keselamatan pelancong serta para pengusaha,” jelas beliau.