MBPP sedia 254 buah gerai kepada pengusaha durian

TELUK BAHANG – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, perniagaan durian di kawasan pulau tidak lagi dibenarkan beroperasi di tepi jalan seperti saban tahun.
 
Justeru itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyediakan 254 gerai di sembilan buah pasar basah kepada pengusaha-pengusaha durian untuk beroperasi.
 
Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam satu sidang media berkata, antara pasar basah yang dipilih adalah di Farlim, Air itam, Paya Terubong, Jalan Permai dan banyak lagi.
 
“Semua pengusaha durian perlulah mendaftar terlbih dahulu di bawah Business From Farm (BFF) yang dibuka mulai 12 tengahari, 22 April hingga pada 28 April 2020 (12 tengahari).
 
“Dan sekiranya senarai pendaftaran yang bakal diterima melebihi angka ditetapkan, pihak MBPP akan menyemak semula siapa yang lebih layak untuk mendapat tempat,” ujarnya ketika sidang media di Sungai Pinang, Balik Pulau, pagi tadi.

Mengulas lanjut, katanya, bayaran sewa untuk sebuah gerai adalah RM 7 untuk sehari dan RM 200 akan dikenakan.

Tung Seang dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak keluar dan datang ke Balik Pulau dalam tempoh PKP ini untuk membeli durian.
 
“Sekarang, MBPP lebih menyarankan orang ramai membeli durian secara dalam talian kerana pengusaha disini juga telah diminta untuk berurusan melalui platfom media sosial.
 
“Sehingga kini, sudah terdapat 20 pengusaha buah durian sekitar Pulau Pinang yang telah menjalankan perniagaan secara dalam talian,” ujarnya.
 
Terbaharu, pengusaha-pengusaha durian akan dibekalkan dengan memo kebenaran keluar sepanjang tempoh PKP ini bagi memudahkan urusan jual-beli dan penghantaran buah kepada pembeli.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI