Pelaburan 2019: Pulau Pinang catat FDI tertinggi dalam negara dan sejarah negeri

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi dalam negara bagi sektor pembuatan iaitu RM15 bilion pada 2019, sekaligus mengekalkan reputasi sebagai salah satu daripada destinasi pelaburan utama negara.

 

JADUAL menunjukkan jumlah pelaburan asing dalam sektor pembuatan bagi setiap negeri di Malaysia pada tahun 2019. (Sumber: MIDA)

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, angka tersebut adalah berdasarkan laporan pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tahun 2019 yang membabitkan 166 projek diluluskan.

 

Jumlah keseluruhan pelaburan (domestik dan FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan adalah RM16.9 bilion.

 

(Dan) jumlah tersebut (RM16.9 bilion) merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri kita setakat ini.

 

“Hal ini, membuktikan bahawa pelabur-pelabur asing masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekosistem pelaburan yang ditawarkan oleh Pulau Pinang.

 

“(Meskipun) Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli, tetapi kita mempunyai sumber kemahiran serta bakat yang sering dicemburi, menjadi daya penarik kepada para pelabur,” ujarnya pada siaran langsung yang disiarkan melalui Facebook beliau @ChowKonYeow hari ini.

 

Menurut Kon Yeow, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang, iaitu kira-kira 49 peratus, diikuti sektor pembuatan 46 peratus.

 

“Sebahagian perbelanjaan dalam sektor ini adalah daripada industri pelancongan yang mana ia termasuk perbelanjaan untuk makanan jalanan (street food) negeri kita yang terkenal di seluruh dunia; rekreasi; seni dan kebudayaan; pelancongan perubatan; sektor MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran); perhotelan; inap desa dan sebagainya.

 

“Malah, sektor perkhidmatan di Pulau Pinang juga menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 300,000 pekerja, separuh daripadanya terlibat dalam sektor pelancongan,” umumnya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa berdasarkan laporan penilaian krisis oleh badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, sebanyak 99 peratus perniagaan dalam sektor perkhidmatan di Pulau Pinang berada dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).

 

“(Kategori ini) membabitkan empat sektor utama iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan serta perkhidmatan yang mana sektor perkhidmatan merupakan yang paling terkesan akibat krisis COVID-19.

 

“(Malah), berdasarkan analisis itu juga, 74.9 peratus SME dalam subsektor seni, hiburan serta rekreasi merupakan perusahaan mikro dan risiko ekonomi terhadap perusahaan ini amat tinggi sekali.

 

(Oleh itu), Kerajaan Negeri telah membuat keputusan menubuhkan ‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang’ bagi memastikan kelangsungan sektor ini.

 

“Saya sendiri akan mempengerusikan pasukan kerja ini manakala Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin sebagai Timbalan Pengerusi dengan Penang Global Tourism sebagai sekretariat.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri akan terus memastikan ekonomi Pulau Pinang terus berdaya tahan walaupun berdepan situasi baru (luar jangka) akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” jelasnya.

 

Difahamkan pada 25 April 2020, ‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang’ akan mengadakan sidang meja bulat maya dengan pemegang taruh industri bagi perbincangan awal berhubung impak sektrorial yang dihadapi mereka.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut melaporkan situasi semasa COVID-19 di Pulau Pinang.

 

Saya bersyukur kerana sudah lebih seminggu Pulau Pinang mencatatkan sifar kes (0 kes) COVID-19 dan ia bukanlah pencapaian yang mudah.

 

“Di sebalik (pencapaian) angka ini, petugas barisan hadapan berperah keringat memastikan pesakit dikesan, disaring, dirawat dan dijaga sebaik-baiknya.

 

“Di sebalik angka-angka ini, anggota polis, tentera, pertahanan awam, RELA, Imigresen dan pihak berkuasa tempatan bermandikan peluh bagi memastikan kita semua mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Begitu juga pekerja pembersihan yang memastikan persekitaran kita bersih dan selamat tanpa perlu bimbang tentang perebakan wabak yang disebabkan oleh persekitaran yang kotor,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil rakyat, pemimpin di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga bertungkus lumus memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua sepanjang tempoh krisis kesihatan ini.

 

Menyentuh mengenai isu semasa PKP yang telah memasuki hari ke-36, Kon Yeow memaklumkan kadar pematuhan bagi tempoh 15 hingga 21 April 2020 adalah pada 97.92 peratus dengan jumlah tangkapan ingkar seramai 566 orang.

 

Sementara itu, dalam telesidang sama, Kon Yeow mewakili Kerajaan Negeri menerima sumbangan berupa peralatan perubatan daripada Persatuan Kebajikan Amal Ckone bernilai RM110,000 untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

 

Manakala Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (Pulau Pinang) pula menyampaikan sumbangan sebanyak 110 kotak hamper bernilai RM15,000 kepada Kerajaan Negeri.

PRESIDEN Persatuan Kebajikan Amal Ckone, Lim Cheng Seang (dua dari kiri) menyerahkan cek cura kepada Ketua Menteri dan seterusnya kepada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sejurus telesidang di Komtar hari ini.
PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Malaysia (Pulau Pinang) yang diwakili Datuk Izham Datuk Omar Merican, Yang Dipertua Persatuan menyerahkan sumbangan berupa hamper kepada Ketua Menteri, di sini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG